Memaparkan catatan dengan label PAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PAS. Papar semua catatan

23 Mac 2010

PAS Ucap Takziah Kepada Keluarga Sulaiman Daud

Nazri Abdullah
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 23 Mac: PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Sulaiman Daud (gambar) yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 8.10 pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, allahyarham ketika hayatnya mempunyai hubungan yang baik dengan PAS sewaktu berada dalam kabinet.

"Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), kami mengucapkan takziah kepada kelurga almarhum.

"Beliau sangat sedih bila PAS dikeluarkan dari Barisan Nasional pada tahun 1978 menunjukkan betapa eratnya hubungan almarhum dengan PAS," katanya ketika ditemui di Parlimen pagi ini.

Ujarnya lagi, almarhum juga seorang pemimpin yang tidak pernah menunjukkan sikap kedaerahan dan kepartian khususnya kepada PAS sewaktu PAS memerintah Kelantan.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut mengumumkan Dewan Rakyat bertafakur seketika bagi memberi penghormatan kepada allahyarham.

Allahyarham meninggalkan empat anak, Mahathir, Norshida, Zelda Raha dan Azman.

Isteri allahyarham, Puan Sri Naemah Hasbi meninggal dunia pada 26 Mac 2005 akibat barah paru-paru.

Sulaiman, yang merupakan bekas Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak dan bekas anggota Parlimen Petra Jaya, pernah menjawat pelbagai jawatan sebagai menteri di peringkat Persekutuan, bermula dengan Menteri Wilayah Persekutuan pada 19 Mac 1981.

Selain itu, allahyarham juga pernah memegang jawatan Menteri Pelajaran (1981-84 dan 1995-99), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1984-86), Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah (1986-89), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1989-1990), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1990-1991) dan jawatan terakhirnya sebagai Menteri Pertanian (1995-1999).

Anak kelahiran Kuching, Sarawak yang berkelulusan ijazah kedoktoran pergigian dari University of Otago, New Zealand, pernah bertugas sebagai doktor gigi di klinik Kerajaan Negeri Sarawak dan Jabatan Perubatan Brunei pada tahun 1960-an.

Royalti : Dokumen Dakwa Najib Diserah Kepada Speker

Hazayani Zakaria
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan menyerahkan dokumen yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbohong berhubung isu royalti kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat esok.

Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian) dalam satu sidang media pagi ini berkata, beliau telah mengemukakan perkara itu kepada Speaker di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) pagi tadi.

"Sebentar tadi saya telah bangun dalam dewan dan mengemukakan peraturan mesyuarat 36(12) yang meminta penjelasan daripada yang dipertua dewan dan ahli parlimen yang pada anggapan saya telah melakukan penelewengan fakta pada 4 November tahun 2009." katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Menurutnya, Perdana Menteri dalam jawapannya berhubung isu royalti tahun lalu menggunakan istilah wang ehsan sedangkan terbukti dalam surat Petronas kepada pegawai kewangan Negeri Terengganu pada tahun 1979, jelas menggunakan bayaran royalti, bukan wang ehsan.

Ujarnya juga, surat Petronas kepada Menteri Besar Terengganu ketika itu, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga menyebut wang royalti.

“Perdana Menteri telah mengunakan perkataan wang ehsan dalam isu tuntutan royalti dan telah menyelewengkan dewan,” katanya.

Menurut Salahudin, dokumen berkaitan sedang disediakan dan dijangka diserahkan kepada Speaker pagi esok.

Pada masa yang sama, Najib diberi tempoh tujuh hari bagi membuat penjelasan berhubung perkara itu.

"Dewan boleh merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan maka tadi saya berdiri dan memberi tempoh selama tujuh hari kepada Perdana Menteri untuk membuat penjelasan," katanya.

Najib ketika perbahasan berhubung isu tuntutan royalti Petroleum Kelantan di Dewan Rakyat pada 4 November lalu menggunakan mendakwa Terenganu hanya diberikan wang ehsan.

Senarai Hitam MP Seksis

Hazayani Zakaria
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Wanita Pakatan Rakyat (PR) hari ini menyeru seluruh wanita Malaysia menyenaraihitamkan ahli parlimen (MP) yang bersikap seksis pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam satu kenyataan bersama yang dibacakan oleh Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali (PAS-Titiwangsa) tengah hari ini, wanita PR berkata, ahli parlimen seksis tidak layak menjadi wakil rakyat.

Ahli parlimen, ujar mereka perlu bebas dari sebarang bentuk amalan seksis, dan ianya perlu dijadikan indeks pencapaian utama (KPI) terhadap calon-calon Parlimen akan datang.

"Wanita Malaysia tidak akan memilih calon-calon ahli parlimen yang seksis dalam pilihan raya akan datang," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu merujuk kepada perkataan 'anak jantan' dan 'anak betina' yang dikeluarkan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) di Dewan Rakyat semalam.

Menurut wanita PR, anutan seksisme (sexism) membawa pemikiran bahawa satu gender adalah lebih 'inferior' atau lemah dari yang lainnya.

Ia juga bermaksud mendiskriminasi gender dan tidak mempedulikan soal memelihara maruah dan martabat gender, lelaki atau wanita sekaligus berlawanan dengan Perlembagaan Malaysia.

"Kita bantah kerana penggunaan perkataan 'anak jantan' dan anak betina ini sangat tidak wajar sebab perkataan itu sering dikaitkan dengan binatang dan juga wanita yang tidak baik," katanya.

Menurutnya lagi, biarpun perkara itu dipandang remeh oleh sesetengah pihak, namun apa yang dibimbangi jika dibiarkan, lebih banyak lagi perkataan serupa digunakan di Parlimen.

Sementara itu, Siti Zailah (PAS-Rantau Panjang) menyifatkan kempen 'Budi Bahasa Budaya Kita' yang diwar-warkan kerajaan sebagai gagal apabila menteri sendiri tidak menunjukkan budi bahasa yang baik sewaktu berbahas di Parlimen.

"Kenyataan ini jelas membuktikan kegagalan kempen 'Budi Bahasa Budaya Kita' yang dilaungkan kerajaan. Kerajaan telah menghabiskan berjuta ringgit untuk melaksanakan kempen itu tapi malangnya \menteri sendiri tidak berbudi bahasa walaupun dalam dewan yang mulia," katanya.

Manakala Zuraida Kamarudin (PKR-Ampang) pula melahirkan rasa kecewa kerana Ahli Parlimen Barisan Nasional masih lagi gagal memahami konsep kesetaraan gender dan kenyataan-kenyataan bersifat seksisme.

"Ini menampakkan kelemahan kerajaan apabila ahli parlimen lelakinya masih gagal untuk memamahi konsep ini. Jika perkara semudah ini pun mereka tidak boleh faham, bagaimana rakyat khususnya wanita hendak meletakkan harapan kepada mereka," katanya.

Orang Ke-3 : KPN Didesak Bertindak

Harakahdaily.Net


KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan boleh dianggap tidak mematuhi ketuanya jika beliau tidak bertindak ke atas pihak ketiga yang campur tangan dalam urusan polis, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (PIC).

"Oleh kerana Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Datuk Seri Hishammuddin Hussein) berkata, adalah menjadi tanggungjawab polis untuk bertindak ke atas pihak ketiga yang campur tangan dalam urusan polis, Musa boleh dianggap ingkar kepada ketuanya jika beliau tidak menyegerakan tindakan tersebut," katanya.

Musa sebelum itu mendedahkan ada pihak ketiga yang campur tangan dalam urusan polis dan memberi tekanan kepada para pegawainya.

Menurut beliau, hanya Ketua Polis Negara yang boleh memberi arahan berdasarkan Seksyen 4 Akta Polis 1957.

Salahuddin juga mempersoalkan sikap Hishammuddin yang seolah-olah mengambil sikap lepas tangan terhadap apa yang dibangkitkan oleh Musa itu.

"Selaku menteri, beliau sepatutnya mengambil tanggungjawab bersama untuk menyiasat dan bertindak ke atas campur tangan pihak ketiga yang dibangkitkan oleh ketua polis negara sendiri.

"Bukannya membuat kenyataan yang seolah-olah memperkecilkan betapa seriusnya apa yang dibangkitkan oleh Ketua Polis Negara itu apabila mendakwa beliau belum lagi mendengar aduan tentang pihak ketiga yang berkuasa mempengaruhi polis.

"Ketua Polis Negara telah membangkitkannya dalam media dan heboh di seluruh negara, adakah wajar bagi Hishammuddin untuk membuat dakwaan bahawa tidak pernah mendengar aduan?" kata Ahli Parlimen Kerian itu sambil tidak menolak kemungkinan pihak ketiga yang berkepentingan politiklah yang memaksa polis menyerang perhimpunan-perhimpunan demokratik yang dijalankan oleh Pakatan Rakyat (PR).

Salahuddin juga berharap Menteri Dalam Negeri jujur apabila mendakwa tidak ada pergeseran antara Kementerian Dalam Negeri dan pasukan polis.

"Jika Menteri Dalam Negeri berkrisis dengan Ketua Polis Negara, yang menanggung padahnya adalah rakyat," katanya.

Hishamuddin membuat dakwaan itu ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat daripada Anthony Loke (DAP- Rasah) yang meminta penjelasan mengapa Ketua Polis Negara dan beliau memilih meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing di media daripada berkomunikasi sesama mereka.

Wujud spekulasi bahawa hubungan kedua-dua pihak adalah tegang berikutan pendedahan Musa bahawa ada campurtangan pihak ketiga dalam pasukan polis.

22 Mac 2010

Terima Kasih Zahrain Dan Kisah Jet Malaysia Lebih Canggih Dari Jet Israel

Oleh: WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

DI TENGAH-TENGAH kita menonton aksi `MP Terlampau' Zahrain di Parlimen, malam tadi berlaku serah borang menyertai PKR di kawasan Parlimen Paya Besar, Kuantan. Satu program ceramah anjuran Dewan Pemuda PAS Pahang telah diadakan di Markas PAS Taman Tas, Kuantan yang menampilkan tokoh utama iaitu YB Azan Ismail (MP Bandar Idera Mahkota), YB Saifuddin Nasation (MP Machang), Dato' Zaid Ibrahim dan juga Ketua Pemuda PAS Pusat Ustaz Nasruddin Tantawi sendiri serta beberapa pimpinan PR kawasan.

Saya sendiri turut berada di tengah ribuan masyarakat dari berbilang kaum pada malam tersebut dan melihat situasi malam itu, amat lojik juga cita-cita PR untuk merampas Pahang dari Bn pada Pilihanraya Umum akan datang. Meskipun besebelahan tapak ceramah diadakan Expo (Fun Fair), amat memeranjatkan kehadiran orang ramai di dalam program tersebut dan amat wajar dan tepat sekali ucapan tahniah diberikan kepada penganjur iaitu Dewan Pemuda PAS Pahang.

Di antara isu yang dikupas di dalam ceramah tersebut antaranya yang menarik tentang ucapan dari Us Nasruddin Tantawi betapa beliau telah `dimalukan' oleh peserta forum sewaktu beliau mengadakan lawatan ke Tehran. Di dalam forum tersebut, ketika seorang Ahli Panel forum membuat pendedahan betapa kerajaan Israel kini telah dilengkapi dengan jet pejuang canggih tanpa `pilot' untuk memusnahkan rakyat Islam Palestine, tiba-tiba bangun seorang peserta dari Lubnan yang pernah menuntut di UIA, Kuala Lumpur menyebut betapa Malaysia mempunyai jet yang lebih canggih dari Israel. Kata-kata peserta itu membuat dewan forum sepi seketika kerana masing-masing seperti tidak percaya betapa Malaysia boleh mengatasi kehebatan Negara Israel yang sentiasa dibantu oleh Amerika itu. Peserta dari Lubnan itu menyebut, "

Jika Israel dikatakan amat hebat kerana jet nya tiada `pilot', Malaysia tentunya lebih hebat lagi kerana di Malaysia jet nya `tiada injin." 

Maka, gamat seluruh dewan forum dan kata Us Nasruddin, selaku rakyat Malaysia beliau terasa amat malu seperti ingin menyorok muka di bawah meja pada ketika itu.

Pada program ceramah malam tadi, satu upacara serahan borang sebanyak 600 orang untuk menyertai PKR telah diadakan. Borang-borang tersebut telah diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR iaitu YB Saifuddin Nasation. YB Saifuddin di dalam ucapannya berkata beliau bersyukur semenjak isu fitnah Liwat 2 yang menimpa DS Anwar, pejabat beliau telah memproses kemasukan ahli baru ke dalam PKR yang jumlahnya amat luar biasa. Ini adalah hasil kerjasama kuat di antara semua parti di dalam PR, katanya. Beliau juga turut menyentuh isu lompat parti, kes liwat 2 dan juga tentang bagaimana kerajaan negeri di bawah PR berupaya membuktikan ketelusan sehingga mendapat pujian dari Juru Audit Negara.

Saya ingin memberi sedikit teguran terhadap program ceramah malam tadi. Pada saya program malam tadi amat berjaya dari segi sambutannya tetapi beberapa kelemahan berikut perlu diambil kira;

1. Program agak lewat bermula sehinggakan jam 9.30 mlm pun masih belum bermula. Sepatutnya program telah bermula jam 9 mlm kerana penganjur telah menjemput ramai penceramah pada malam itu. Masa yang suntuk menyebabkan beberapa penceramah tidak selesa untuk menyampaikan ceramah dengan lebih berkesan.

2. Tiada petugas parti yang melaksanakan tugas seperti pengedaran risalah atau apa jua bahan penerangan/maklumat kepada mereka yang hadir. Sewajarnya di dalam program seperti ini kita perlu mengambil kesempatan untuk mengedar apa jua maklumat tentang isu terkini bagi menentang dakyah yang dibawa oleh media pencacai Umno.

Walau apa pun, setinggi pujian harus diberikan kepada Dewan Pemuda PAS Pahang di atas kejayaan program malam tadi. Melihat kepada reaksi spontan mereka yang hadir, ternyata segala fitnah ke atas pimpinan PR tidak lagi memasuki minda rakyat. Syabas diucapkan

Konvensyen Guru-Guru Wanita Islam Malaysia

Saidah Hairan 
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Atas kesedaran kepentingan peranan pendidik dalam membentuk peribadi remaja, Lajnah Pendidikan Muslimat PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Pendidikan Muslimat PAS Selangor akan menganjurkan Konvensyen Guru-guru Wanita Islam Malaysia.

Pengerusinya, Wardatul Jannah As-Sofea memaklumkan antara objektif konvensyen itu untuk menghimpunkan tenaga pendidik wanita Islam dalam PAS serta menyediakan platform bagi menyuarakan pandangan mereka terhadap hala tuju pendidikan secara holistik.

Program sehari itu akan diadakan pada 28 Mac, Ahad bermula 8 pagi hingga 5 petang di dewan Perpustakaan Raja Tun Uda, Persiaran Bandaraya Shah Alam, Selangor.

Konvensyen tersebut akan dirasmikan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusuf serta pembentangan kertas kerja oleh AJK Muslimat PAS Pusat, Dr Asiah Ali serta Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali.

Menurut Wardatul, tema konvensyen `Pendidik Pencetus Transformasi Modal Insan' bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap peranan dan tanggungjawab sebagai penjana modal insan yang seimbang serta dapat menjalinkan ukhuwwah.

Di samping, katanya, meningkatkan kerjasama antara golongan pendidikan wanita seluruh negara.

Beliau berharap semua para pendidik seluruh negara dapat melapangkan masa dan mengambil peluang keemasan untuk mengikuti konvensyen yang pertama kali diadakan.

Segala kemusykilan boleh hubungi terus Wardatul di talian 019-7268937.

PAS Cadang Hantar Memo Kepada Majlis Raja-Raja

Hazayani Zakaria
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mencadangkan agar Ahi Parlimen PR menghantar memorandum khas kepada Majlis Raja-Raja Melayu meminta satu siasatan dijalankan ke atas penglibatan Apco Worldwide dengan pentadbiran Kerajaan Malaysia.

Beliau turut mempersoal tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil Apco sebagai penasihat kepada pentadbiran negara.

"Saya mencadangkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menghantar memorandum khas kepada Majlis Raja-Raja Melayu meminta Majlis Raja-Raja Melayu meneliti perkara ini.

"Kenapa kerajaan perlu mengambil khidmat syarikat antarabangsa yang terlibat dengan rejim zionis, sedangkan banyak lagi syarikat antarabangsa mahupun tempatan yang boleh menjadi jururunding," katanya yang juga Naib Presiden PAS pada sidang media di lobi Parlimen tengah hari ini.

Anwar sebelum ini, mendakwa Apco Worldwide, sebuah agensi perunding dilantik oleh kerajaan Malaysia adalah syarikat yang sama melakarkan slogan ‘One Israel'.

PAS Miri Yakin Tsunami Politik Akan Berlaku Di Sarawak

Harakahdaily.Net

MIRI, 22 Mac: PAS Miri melahirkan keyakinan akan berlaku tsunami politik pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak tidak lama lagi seperti yang terjadi pada pilihan raya umum Mac 2008 lalu.

Sehubungan itu, Yang Dipertua PAS kawasan, Haji Jofri Jaraiee (gambar) mengajak rakyat negeri ini untuk bersama-sama dengan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) bagi membuat perubahan cemerlang pada pilihan raya negeri nanti.

Katanya, kempen Jom Sertai PAS dan Pelancaran Tabung PR Dun Sarawak memberi signal positif dalam satu usaha yang lebih gigih dalam membawa satu sinar baru pada politik Sarawak yang gelap sepanjang pentadbiran Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Menurutnya, isu tanah NCR, penyalahgunaan kuasa, masalah penderaan kaum Penan, hak bumiputera Sarawak adalah antara rangkaian kegagalan BN sepanjang memerintah negeri ini.

PAS Miri, tegasnya akan terus komited untuk mendefinisi dan mentakrif perubahan yang akan berlaku dalam lanskap politik negara berdasarkan kerangka rujukan Islam yang bersifat universal.

“Bagi PAS Miri, jentera parti kini sudah siap siaga untuk melakukan kejutan, ditambah dengan kerjasama erat bersama PKR, DAP, SNAP untuk menghadapi pilihan raya negeri yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

“PAS Miri yakin dengan gerak kerja yang berterusan bermula dari pilihan raya Dun 2006 lalu serta sokongan penduduk tempatan amat memberangsangkan lantas bakal diterjemahkan pada pilihan raya negeri akan datang,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, bahang pilihan raya negeri semakin hangat dengan pengumuman persediaan bajet pilihan raya daripada Suruhanajaya Pilihan Raya (SPR) minggu lalu dan ditambah dengan kebanjiran pimpinan BN mahupun PR ke negeri ini memperkuatkan lagi spekulasi itu.

Katanya lagi, laporan media tentang kesediaan parti komponen PR di samping pengumuman hasrat untuk bertanding di kerusi Dun sekitar Utara Sarawak khasnya Miri dan Bekenu membuktikan kesungguhan setiap parti komponen PR dalam merampas kerusi Dun sekitar Miri dan Bekenu daripada BN.

PAS Miri, ujarnya menghormati pendirian setiap komponen Pakatan Rakyat kerana setiap kerusi Dun pada dasarnya, secara kolektif calon yang akan dibantu dan disokong sepenuhnya oleh PAS, adalah calon Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR, DAP dan SNAP.

Tambahnya, PAS Miri akan meletakkan kepercayaan penuh pada kepimpinan Pusat dan negeri dalam mengesahkan calon yang akan bertanding bagi kesemua 71 kerusi di Sarawak selain menyatakan sokongan penuh kepada cadangan pertembungan satu lawan satu antara PR dan BN.

“Ini kerana dengan kukuhnya jentera PR kini, kami yakin pilihan raya Dun ini akan membawa tsunami politik seperti yang berlaku pada pilihan raya umum Mac 2008 lalu,” katanya lagi.

Baginya, kemunculan golongan pengacau seperti Parti Cinta Malaysia (PCM) tidak lebih sekadar satu usaha terdesak BN untuk memecahkan undi PR, akan tetapi PAS yakin pengundi tidak akan terpengaruh dengan usaha buruk BN ini.

“Politik yang kita majukan adalah berteraskan politik li ta'arafu - politik saling menghormati, khususnya bagi negeri Sarawak yang bersifat majmuk, dan dengan ini, ia bertambah penting bagi PAS menyerlahkan sifat keadilan Islam yang mampu meraikan kepelbagaian.

“PAS menegaskan menawar diri untuk memimpin perubahan dan memikul amanah kepimpinan negeri bersama setiap rakan PR dalam mengambil alih tampuk pemerintahan dari BN yang telah mendatangkan banyak kegagalan dalam sudut pentadbiran di negeri ini.

Royalti : Nazri Aziz Berbohong Di Parlimen

Dzulfikar Mashoor
Hazayani Zakaria
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Gara-gara menggunakan Akta Ordinan Darurat 1969, iaitu akta yang telah pun dimansuhkan bagi menafikan hak kerajaan negeri Kelantan daripada menerima royalti minyak, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dibuktikan berbohong di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen lepas.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Mohamad Nazri pada sesi penggulungan Disember lalu berulang-ulang kali membuat penafian demikian atas alasan minyak tersebut berada di luar kawasan perairan Kelantan, iaitu tiga batu nautika seperti dirujuk pada Akta Ordinan Darurat 1969.

“Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu 1969 dengan ini dimansuhkan, maknanya ketika berhujah di dalam Dewan (Rakyat), yang berhormat Menteri (Nazri) telah memakai akta yang sebenarnya dimansuhkan.”

“Undang-undang yang dimansuhkan, dia tahu tidak boleh dihujahkan di dalam Dewan (Rakyat), perbuatan menipu Dewan Rakyat telah berlaku pada saat itu,” tegas Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR.

Sehubungan itu, Saifuddin mendesak Mohamed Nazri dikenakan tindakan keras berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(12), iaitu berkaitan hukuman-hukuman yang wajar ke atas Ahli Parlimen atau Menteri kerana berbohong di Dewan Rakyat.

Sebelum pada itu, Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee dilihat cuba untuk tidak memberi laluan kepada Saifuddin bagi membuktikan Mohamed Nazri berbohong di Dewan Rakyat.

Saifuddin kemudiannya mendesak Ronald supaya konsistan dalam mengendalikan sesi penghujahan di Dewan Rakyat.

Menurut Saifuddin, Ronald diminta konsistan melaksanakan Peraturan Mesyuarat, 37(1) dan 36(12), dengan membenarkan beliau mempertikai Mohamed Nazri.

Ini kerana, beliau berkata, Ronald pernah membenarkan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan membuat penghujahan balas, selepas mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbohong di Dewan Rakyat dengan mengatakan bahawa 1Malaysia adalah ciplak pada 1Israel.

Disember tahun lalu, Nazri Aziz berkata, kedudukan pelantar minyak 170 kilometer, di Zon Ekonomi Eksklusif Melaysia-Thailand melayakkan kerajaan Kelantan menerima wang ehsan semata-mata daripada Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, ketika bercakap dalam sidang media di lobi parlimen tengah hari ini, Saifuddin berkata, Nazri secara jelas menyelewengkan fakta apabila menggunakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 1969) yang telah dimansuhkan sewaktu berhujah dalam isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen PR itu.

"Tadi kita (Ahli Parlimen PR) telah membangkitkan peraturan mesyuarat perkara di bawah 37 (1) dan 36 (12) berkenaan perbuatan yang kita percaya dilakukan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas yang mengelirukan dewan.

"Ketika MP Padang Rengas menggulung perbahasan di peringkat dasar Jabatan Perdana Menteri, apabila kami membahaskan isu berkaitan royalti kelantan, apabila kami meneliti semula jawapan yang diberikan menteri iaitu isu tiga batu nautika berdasarkan Ordinan Darurat (kuasa-kuasa perlu 1969) yang dikatakan menghadkan sempadan sesebuah negeri setakat tiga batu nautika. Oleh kerana telaga minyak Kelantan yang berada melebihi tiga batu maka menteri berhujah berdasarkan ordinan ini, Kelantan tidak ada hak membuat tuntutan.

"Tetapi kami menemui undang-undang Malaysia iaitu Akta 216, Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 1979), di bawah seksyen 13(1) jelas yang menyebut ordinan (kuasa-kuasa perlu darurat 1969) telah dimansuhkan," katanya.

Sementara itu, Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) dalam sidang media yang sama berkata, isu yang dibawa oleh Saifuddin itu jauh lebih besar daripada perkara yang dibangkitkan Abdul Rahman berkaitan Anwar.

"Isu yang dibawa wakil Machang iaitu ahli dewan menyelewengkan fakta jauh lebih besar isunya kerana beliau seorang Menteri Kabinet yang mempunyai tanggungjawab untuk memberikan maklumat yang betul berbeza dengan ahli parlimen biasa.

"Isu yang dibangkitkan Kota Belud berkaitan Datuk Seri Anwar itu kita boleh bahaskan," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub pula berkata, Nazri seperti yang didedahkan Saifuddin Nasution pernah menggunakan fakta mengelirukan semasa membuat hujah penggulungan berhubung isu royalti negeri Kelantan.

"Kita tunggu dalam masa seminggu, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dirujuk ke jawatankuasa hak dan kebebasan dewan, maka kami juga akan merujuk Nazri ke jawatankuasa sama," katanya yang juga Naib Presiden PAS ketika ditemui di parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan yang akan mengheret Anwar ke jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen jika gagal memberi penjelasan dalam tempoh seminggu berhubung dakwaan mengaitkan kerajaan dengan sebuah firma penasihat Israel.

MCA Sudah Parah - SUA PAS

Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan apa yang berlaku dalam MCA sekarang adalah terlalu teruk dan ia amat parah.

"Jika sudah sampai ke peringkat orang yang sudah bersara terpaksa bertanding kembali, ia sudah parah dan sukar untuk diperbetulkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan agar MCA meletakkan syarat supaya jika tidak ada mana-mana pihak yang bertanding untuk jawatan presiden MCA mendapat lebih dari 50 peratus undi, undian semula perlu dibuat dengan cara membuang calon yang paling rendah undi.

Ini untuk membolehkan satu calon yang betul-betul mendapat sokongan majoriti ahli dipilih sebagai pemimpin, katanya.

"Amalan ini sememangnya dibuat di tempat-tempat lain khasnya pertandingan untuk jawatan presiden sesebuah negara," kata beliau.

Mustafa berkata demikian kepada wartawan selepas melancarkan laman web English Harakahdaily.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat bukan sahaja terpaksa berdepan dengan pertandingan tiga penjuru bahkan juga terpaksa berdepan dengan media BN yang nampaknya cenderung untuk memilih Datuk Seri Chua Soi Lek sebagai presiden baru MCA.

Tee Kiat akan berdepan dengan Chua Soi Lek yang pernah diserang kerana melakukan hubungan sex tanpa perkahwinan dan juga bekas presiden MCA yang sudah berundur sebelum ini, Datuk Seri Ong Ka Ting.

Untuk jawatan timbalan presiden pula, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai akan berdepan satu lawan satu dengan Datuk Kong Cho Ha.

Manakala itu, 10 calon akan bertanding merebut tiga kerusi Naib Presiden MCA. Mereka adalah Khoo Keok Hai, Chor Chee Heung, Ng Yen Yen, Yap Pian Hon, Gan Ping Shou @ Gan Ping Sieu, Yew Teong Look, Wong Siong Hwee, Lim Siang Chai, Yeow Chai Thiam dan Loke Yuen Yow.

Demikian diumumkan oleh MCa petang ini. Untuk jawatan AJK, 86 calon telah bertanding.

21 Mac 2010

Pelajar Diugut Supaya Tidak Bertemu Pemimpin PR

YB Khalil Idham Lim Abdullah
idhamlim.blogspot.com

Semangat IMalaysia yang dilaungkan oleh Najib dan kerajaan yang telah membelanjakan wang jutaan ringgit untuk disebarkan luaskan kepada semua peringkat rakyat dari pegawai kerajaan sehinggalah kepada rakyat biasa.. Sebenarnya bukan tujuan saya untuk membenarkan dasar ini namun yang dikesali ternyata ianya sebagai satu gimik politik dan dasar yang cuma menjadi mainan politik pemimpin BN namun jauh untuk dilaksanakan oleh mereka sendiri termasuklah oleh pegawai kerajaan di bawahnya.

Realiti kepada apa yang berlaku di Ireland dimana sesampai kami disini dimaklumkan hampir semua pelajar tajaan kerajaan seperti dari MARA, JPA dan sebagainya telah diugut oleh jabatan penuntut Malaysia disini dari menhadiri apa saya program yang diatur oleh Kelab Penyokong PAS Ireland yang suatu masa dulu di rasmikan oleh Presiden PAS Sendiri.

Secara umumnya tindakan yang dilakukan oleh Pegawai jabatan penuntut yang sering dilakukan bila ada saja pemimpin Pakatan Rakyat samapoi disini adalah satu lumrah. Malah telah ada pelajar Malaysia yang ditarik biasiswa kerana hadir dalam program bersama pemimpin PAS. Sedangkan bila ada saja pemimpin BN dan UMNO yang sampai malah diadakan satu program khusus dan semuanya dipaksa hadir.

Namun saya tetap mengucapkan terima kasih kepada pegawai tersebut yang telah melakukan tindakan double standard yang ternyata menambahkan kebencian rakyat Malysia termasuk penuntut Malaysia yang diugut itu kepada UMNO dan BN. Inilah rupa pegawai yang dilahirkan selama 50 tahun BN memerintah.

Teruskanlah kerja saudara sampai keahir perkhidmatan yang ada disini dan ingat bahawa kepuasan yang anda perolihi hanya untuk BN dan UMNO dan rakyat Malaysia akan menyimpan dalam hati kecil mereka untuk menghukum BN bila balik ke Malaysia nanti.

20 Mac 2010

Presiden PAS Bangga MP Dan ADUN PAS Tidak Terjun Bahtera


Mohd Sabri Said
Harakahdaily.Net

SEBERANG JAYA : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berbangga dengan prestasi semua ahli parlimen (MP) mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu seluruh negara kerana tidak gopoh terjun daripada bahtera yang sedang belayar.

Ketika menyampaikan amanat di Dewan Perpustakaan Negeri di sini, pagi tadi beliau menambah, berbanding parti lain dalam Pakatan Rakyat, PAS ternyata ke hadapan sebagai sebuah organisasi yang mantap.

"Walaupun bahtera kadang-kadang terumbang ambing namun PAS berjaya menunjukan prestasi yang baik tidak mudah terjerat dengan mainan politik yang dicipta oleh Umno dan Barisan Nasional (BN). Sikap tidak gopoh menghadapi sebarang rintangan, " jelasnya dalam program anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang.

Oleh itu, beliau menggesa semua organisasi PAS harus mengatur program dengan lebih berkesan dan agresif supaya muncul formula baru yang dapat mendekatkan lagi PAS dengan masyarakat.

“Di sinilah kekebalan PAS menerusi baiah, usrah dan pertemuan dapat menghindarkan tanggapan buruk serta memperjelaskan kedudukan sebenar sekaligus dapat membersihkan tohmahan musuh.

"Sebenarnya baiah, usroh dan pertemuan dalaman memberi kelebihan pada PAS sendiri. Kita dapat membina kekuatan dalaman dan mengawal tindak tanduk yang boleh mengancam kestabilan politik parti sendiri," tegasnya.

Katanya, sikap sedemikian dapat membentuk jati diri yang kuat di samping bersatu hati dalam sebarang isu dan bersama memantau jika timbul persoalan yang sukar diselesaikan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan PAS tetap memilih jalan demokrasi untuk menawan Malaysia walaupun tahu ia datang dari barat.

Melaluinya, kata beliau PAS berpeluang menyampaikan dakwah dan penerangan dengan lebih baik asalkan bijak mengatur isi penyampaian samada di masjid, surau ataupun medan ceramah sempena hari kebesaran Islam dan sebagainya.

Tambahnya, PAS adalah wadah politik yang perlu dipertanggugjawabkan bukan untuk main-main, maka apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan telah mengambil kira semua risiko.

"Kita bukan berperang yang mahu membunuh musuh tapi kita berdemokrasi yang mana perlu mengintai peluang agar terus berjaya menonjolkan PAS ke arah yang lebih tinggi, " tambahnya.

"Pelacur Politik" Tidak Patut Bersarang Di Parlimen


Abdul Aziz Mustafa
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Parlimen tidak sepatutnya dijadikan sarang ‘pelacur politik’ sehingga meruntuhkan kemuliaannya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Jangan jadikan Parlimen sebagai sarang pelacuran yang dipenuhi kuman siflis dan wabak aids yang akan meruntuh kemulian dewan yang dibanggakan selama ini," tegas beliau ketika mengulas ahli-ahli Parlimen yang melompat.

Beliau meminta ahli-ahli Parlimen yang melompat itu menyedari bahawa rakyat memberi kepercayaan kepada mereka atas nama Pakatan Rakyat (PR) bukan atas nama diri mereka.
"Mereka boleh untuk tidak bersama PKR dan PR tetapi mereka perlu melepaskan jawatan ahli Parlimen untuk kembalikan mandat itu kepada rakyat.
"Inilah cara terbaik untuk mereka membuktikan dakwaan mereka PKR dan PR tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat. Bukannya menjadi pelacur politik yang membawa penyakit yang boleh merosakan masyarakat," tegas beliau lagi.

Beliau juga menyifatkan ahli-ahli Parlimen yang melompat itu sudah tidak ada kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen.

Ahli-ahli Parlimen yang melompat parti, katanya, mencabuli amanah rakyat.

"Parlimen tak boleh mengizinkan ahli Parlimen seperti ini yang membohongi dan menggadai amanah rakyat.

"Perbuatan ini sama seperti kesalahan pecah amanah. Orang yang pecah amanah hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mengulas titah diraja ketika perasmian penggal Parlimen Isnin lalu di mana Yang di-Pertuan Agong mengingatkan ahli-ahli Parlimen supaya menjaga adab dalam perbahasan, Mahfuz berkata, apabila membicarakan soal adab dan kesopanan ia tidak terbatas kepada tingkah laku seseorang ahli Parlimen ketika berbahas.
"Tingkah laku tindakkan ahli Parlimen diluar dewan juga merupa perkara penting untuk dinilai," katanya.

Tingkah laku tersebut termasuk perbuatan mencabuli amanah rakyat yang mengundi mereka.

18 Mac 2010

Mereka Kini Di Parlimen


SIDANG Parlimen telah pun dibuka siang tadi dengan suasana yang berbeza khususnya di kerusi MP dari PR. Setelah proses pembersihan dan `samak' yang telah dilakukan, maka PR khususnya dari PKR kini dilihat lebih bersih dan suci dari dahulu. Proses `samak' atau menyucikan ini harus terus berjalan sehingga menjadikan parti ini lebih kuat dan dihormati oleh kawan dan pihak lawan.

Apabila sidang Parlimen ini mula berkumpul, kita dapat melihat aksi `firaun-firaun ' ini dengan selamba memasuki dewan, duduk di kerusi yang tidak berparti kemudiannya tersengeh bagaikan kerang busuk. Mereka tidak sedar di luar sana beribu malahan mungkin berjuta mulut sedang menyumpah seranah mereka kerana khianatnya kepada kepercayaan yang telah diberikan kepada mereka. Sudah tentunya media-media pencacai akan memberikan perhatian dan tumpuan kepada `firaun-firaun ' ini kerana mereka sememangnya `makanan' buat media pencacai tersebut. Di dalam kumpulan itu terdapatnya `firaun besar' dari Kulim Bandar Baru serta `firaun-firaun kecil' dan mereka ini diketuai oleh `raja katak emas' dari Pasir Mas.

Amat malang nasib pengundi-pengundi yang diwakili oleh puak-puak ini. Di antara mereka itu boleh dikatakan hanya dua ekor sahaja yang rajin bercakap di dalam dewan yang mulia itu. Mereka adalah `katak emas' dari Pasir Mas dan juga `firaun besar' dari Kulim Bandar Baru. Manakala yang lain, jika kita lihat semenjak dari persidangan yang lalu bagaikan hadir semata-mata untuk makan elaun buta. Apatah lagi orang tua yang berkopiah putih yang menjadi Wakil Rakyat hasil dari usaha Ustaz Ahmad Awang. YB Azmin Ali pernah memberitahu orang tua ini langsung tidak pernah bangun berbahas di dalam dewan semenjak menjadi MP. Beliau hanya tahu angkat tangan bila rakan-rakan yang lain angkat tangan. Kalau begitulah `standard' beliau, lebih baik dahulu kita letakkan burung belatuk duduk di kerusinya itu.

Agak-agak kita apakah yang boleh dibahaskan oleh mereka ini? Apa yang pasti `firaun kecil' yang tidak tahu bercakap itu akan menjadi burung belatuk yang sebenar. Di sinilah letaknya malang yang menimpa pengundi-pengundi yang diwakili oleh mereka. Sudah lah dapat Wakil Rakyat yang tidak tahu apa-apa, pengkhianat pula. Di Parlimen ini nanti kita hendak dengar hujah dari `firaun besar' Kulim Bandar Baru tentang isu Kalimah Allah. Di luar beliau terbukti pengecut apabila dicabar oleh YB Khalid untuk berdebat tentang isu tersebut. Di Parlimen, beliau boleh berhujah pula dengan Ulamak atau Ustaz-Ustaz dari PAS jika beliau menganggap PKR tidak tahu tentang agama. Masalahnya, beranikah beliau berbuat demikian?

Tahniah kepada PAS dan DAP yang telah memberikan kepercayaan kepada DS Anwar menjadi Ketua Pembangkang walaupun puak-puak mereka amat berharap DS Anwar disisihkan. Apa yang menarik perhatian saya, kenyataan dari PAS yang menyatakan PAS bukan sahaja menyokong DS Anwar sebagai Ketua Pembangkang, bahkan menyokong DS Anwar sebagai PM sekiranya PR berjaya menduduki Putrajaya. Kenyataan PAS ini amat `melukakan' hati dan jantung Umno. Apa yang berlaku ke atas DS Anwar tidak sedikitpun mempengaruhi PAS dan DAP kerana mereka tahu moral DS Anwar bukan seperti Chua Soi Lek yang ingin ditabalkan sebagai Presiden MCA itu. Maruah DS Anwar terletak kepada keadilan dan kebenaran yang diperjuangkannya, manakala maruah Umno kini hanya bergantung kepada `satu lubang' sahaja. Di mana pula letaknya maruah yang tidak berparti itu? Tiada, kerana sememangnya mereka langsung tidak bermaruah

Tahniah Orang Asli - PAS

Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mengucapkan tahniah kepada Orang Asli yang mengadakan tunjuk perasaan di Putrajaya semalam kerana menuntut hak mereka yang dicabul.

Katanya, penghormatan patut diberikan kepada mereka kerana keberanian dan boleh mengumpulkan seramai 2,000 orang adalah merupakan suatu perkara yang menakjubkan semua pihak.

Perhimpunan semalam dianjurkan bersama Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) dan juga Jaringan Kampung Orang Asli Perak untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri.

Memorandum tersebut turut menuntut supaya dasar pemberimilikan dimansuhkan dan hak wilayah adat Orang Asli hendalah diwartakan sebagai rizab Orang Asli.

Turut dikepilkan dalam memorandum berkenaan ialah cadangan pindaan Akta Orang Asli (Akta 134) yang dikemukakan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia.

“Nampaknya Orang Asli lebih sensitif dalam mempertahankan hak mereka yang dicabul oleh kerajaaan BN,” ujar Idris dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, katanya walaupun Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan itu berkata: Mereka datang bukan untuk protes tetapi untuk berjalan-jalan melawat Putrajaya dan kita juga bagi mereka makan-makan.

Katanya, kejayaan Orang Asli yang mengumpulkan hampir 2,000 orang ke Putrajaya satu perkembangan yang baik.

“Ini bermakna kesedaran politik yang dilaungkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat selama ini sudah mendasari hingga ke akar umbi, seperti Orang Asli sudah berani menuntut hak mereka melalui jalan raya,” ujarnya.

Selama ini, katanya Orang Asli hanya menjadi pemerhati dari jauh dan dilihat oleh pemimpin BN sentiasa menyokong tindakan kerajaan.

“Hari ini mereka telah melakarkan sejarah kebangkitan rakyat dan sebagai mercu tanda perubahan politik pada masa akan datang insya Allah,” ujarnya lagi.

17 Mac 2010

Ucapan Takziah PAS PERAK

Saya bagi pihak Pimpinan dan ahli-ahli PAS Perak, saya merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang Panthiyan a/l Patchamuthu atau lebih dikenali sebagai Siva , Ketua Pemuda Himpunan Kelab Penyokong PAS Negeri Perak, merangkap Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pasir Salak di atas kematiannya pada hari ini.

Bagi PAS Perak, mendiang merupakan seorang yang bertanggungjawab dalam memikul amanah sabagai Ket
ua Pemuda Himpunan Kelab Penyokong PAS Negeri Perak, juga sebagai Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pasir Salak, selain itu mendiang juga dikenali sabagai pemuda yang mempunyai akhlak yang baik dan disenangi oleh masyarakat setempat, beliau juga banyak berperanan dalam menarik minat masyarakat bukan Islam untuk bersama menyertai Himpunan Kelab Penyokong PAS Perak.

Kami berharap agar seluruh ahli keluarga mendiang bersabar di atas kematian mendiang. Kami menyifatkan kematian mendiang sebagai satu kehilangan yang besar serta amat dirasai didalam arena politik negara. Khususnya dalam Himpunan Kelab Penyokong PAS Perak

Sekian, terima kasih.

Yang Benar;

Al fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain
( PESURUHJAYA PAS PERAK )