Memaparkan catatan dengan label UMNO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UMNO. Papar semua catatan

23 Mac 2010

APO : Ketua Pembangkang Perjelas Selasa Depan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diberi ruang membuat penjelasan berhubung dakwaan penglibatan APCO Worldwide dalam mempromosikan 1Malaysia di dewan rakyat pada hari Selasa, 30 Mac depan.

Perkara itu diumumkan ahli parlimen Subang Sivarasa Rasiah selepas Anwar bersama beliau mengadakan perbincangan dengan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee sebentar tadi.

Pertemuan itu jelas Siva, bagi membolehkan Anwar mendapat penjelasan terus dari timbalan speaker itu berhubung apa yang berlaku pada persidangan dewan rakyat semalam.

"Datuk Seri Anwar akan memberi penjelasan pada hari Selasa, jam 11.30 pagi.

"Beliau akan mengulas sekaligus menjawab apa yang dibangkitkan (Ahli Parlimen) Kota Belud dan Padang Rengas," katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh semalam diberi tempoh seminggu untuk menjelaskan kenyataannya di dalam dewan minggu lalu yang mengaitkan kerajaan dengan sebuah firma penasihat Israel, Apco yang didakwa terlibat dalam mempromosikan kempen 1Malaysia.

Tindakan tersebut ekoran Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN - Kota Belud) yang membangkitkan perkara tersebut di bawah perkara 37 (1) yang dibacakan sekali dengan perkara 36(12) peraturan mesyuarat yang mencetuskan suasana gamat di parlimen semalam.

Menurutnya, ahli parlimen Permatang Pauh itu dengan jelas menggunakan kenyataan yang mengelirukan dewan semasa membuat kenyataan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz (BN- Padang Rengas) kemudiannya memberitahu timbalan speaker, Datuk Ronald Kiandee bahawa kerajaan memberi Anwar tempoh seminggu untuk membuktikan dakwaannya itu.

Anwar sebelum ini juga mendakwa perdana menteri Israel, Ehud Barak telah mengunakan khidmat nasihat syarikat Apco pada 1999.

Sementara itu, beliau pada sidang dewan rakyat pagi tadi berkata beliau akan membuat penjelasan berhubung dakwaannya itu dan akan mendedahkan beberapa lagi fakta berkaitan.

"Macam Apco, saya akan buat penjelasan nanti dan jangan terkejut dengan maklumat yang saya akan sampaikan," kata Anwar sewaktu mencelah menjawab tuduhan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman.

PAS Ucap Takziah Kepada Keluarga Sulaiman Daud

Nazri Abdullah
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 23 Mac: PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Sulaiman Daud (gambar) yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 8.10 pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, allahyarham ketika hayatnya mempunyai hubungan yang baik dengan PAS sewaktu berada dalam kabinet.

"Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), kami mengucapkan takziah kepada kelurga almarhum.

"Beliau sangat sedih bila PAS dikeluarkan dari Barisan Nasional pada tahun 1978 menunjukkan betapa eratnya hubungan almarhum dengan PAS," katanya ketika ditemui di Parlimen pagi ini.

Ujarnya lagi, almarhum juga seorang pemimpin yang tidak pernah menunjukkan sikap kedaerahan dan kepartian khususnya kepada PAS sewaktu PAS memerintah Kelantan.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut mengumumkan Dewan Rakyat bertafakur seketika bagi memberi penghormatan kepada allahyarham.

Allahyarham meninggalkan empat anak, Mahathir, Norshida, Zelda Raha dan Azman.

Isteri allahyarham, Puan Sri Naemah Hasbi meninggal dunia pada 26 Mac 2005 akibat barah paru-paru.

Sulaiman, yang merupakan bekas Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak dan bekas anggota Parlimen Petra Jaya, pernah menjawat pelbagai jawatan sebagai menteri di peringkat Persekutuan, bermula dengan Menteri Wilayah Persekutuan pada 19 Mac 1981.

Selain itu, allahyarham juga pernah memegang jawatan Menteri Pelajaran (1981-84 dan 1995-99), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1984-86), Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah (1986-89), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1989-1990), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1990-1991) dan jawatan terakhirnya sebagai Menteri Pertanian (1995-1999).

Anak kelahiran Kuching, Sarawak yang berkelulusan ijazah kedoktoran pergigian dari University of Otago, New Zealand, pernah bertugas sebagai doktor gigi di klinik Kerajaan Negeri Sarawak dan Jabatan Perubatan Brunei pada tahun 1960-an.

Royalti : Dokumen Dakwa Najib Diserah Kepada Speker

Hazayani Zakaria
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan menyerahkan dokumen yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbohong berhubung isu royalti kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat esok.

Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian) dalam satu sidang media pagi ini berkata, beliau telah mengemukakan perkara itu kepada Speaker di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) pagi tadi.

"Sebentar tadi saya telah bangun dalam dewan dan mengemukakan peraturan mesyuarat 36(12) yang meminta penjelasan daripada yang dipertua dewan dan ahli parlimen yang pada anggapan saya telah melakukan penelewengan fakta pada 4 November tahun 2009." katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Menurutnya, Perdana Menteri dalam jawapannya berhubung isu royalti tahun lalu menggunakan istilah wang ehsan sedangkan terbukti dalam surat Petronas kepada pegawai kewangan Negeri Terengganu pada tahun 1979, jelas menggunakan bayaran royalti, bukan wang ehsan.

Ujarnya juga, surat Petronas kepada Menteri Besar Terengganu ketika itu, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga menyebut wang royalti.

“Perdana Menteri telah mengunakan perkataan wang ehsan dalam isu tuntutan royalti dan telah menyelewengkan dewan,” katanya.

Menurut Salahudin, dokumen berkaitan sedang disediakan dan dijangka diserahkan kepada Speaker pagi esok.

Pada masa yang sama, Najib diberi tempoh tujuh hari bagi membuat penjelasan berhubung perkara itu.

"Dewan boleh merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan maka tadi saya berdiri dan memberi tempoh selama tujuh hari kepada Perdana Menteri untuk membuat penjelasan," katanya.

Najib ketika perbahasan berhubung isu tuntutan royalti Petroleum Kelantan di Dewan Rakyat pada 4 November lalu menggunakan mendakwa Terenganu hanya diberikan wang ehsan.

UMNO Anti-Islam 2 Kali Ganda DAP?

Dzulfikar Mashoor
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 23 Mac: “Kalau DAP (dan) Pakatan Rakyat dianggap ‘anti Islam’, adakah Umno dua kali ganda ‘anti Islam’ kerana memberikan peruntukan yang jauh lebih sedikit waktu memerintah kerajaan negeri dulu,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Justeru, beliau menempelak dakwaan Umno bahawa DAP melaksanakan dasar ‘anti-Islam’ di Pulau Pinang apabila membacakan jumlah peruntukan kewangan yang diberikan oleh kerajaan negeri era Pakatan Rakyat berbanding Barisan Nasional untuk perkembangan Islam.

“Waktu kita ambil alih kerajaan (2008), kerajaan Umno beri peruntukan (sebanyak) RM12.5 juta untuk perkembangan Islam di Pulau Pinang, selepas kita memerintah (2009), kita naikkan pada RM20.5 juta,” jelas beliau yang juga Setiausaha Agung DAP di Dewan Rakyat pagi tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan negeri turut meningkatkan peruntukan kewangan untuk aktiviti perkembangan Islam sehingga RM24.3 juta pada tahun ini.

Sebelum pada itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dalam sesi soal jawab, mendakwa Guan Eng dan DAP mengamalkan sikap anti-Islam ketika mentadbir kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, akhbar Utusan Malaysia turut didakwa cuba menutup pencapaian sebenar kerajaan negeri dalam memelihara kepentingan Islam dan umat Melayu di Pulau Pinang.

Tidak cukup dengan mendakwa Utusan Malaysia sebagai ‘utusan fitnah’, beliau turut mendakwa akhbar tersebut juga mengamalkan sikap anti Islam demi merealisasikan cita-cita Umno untuk menguasai kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) kelak.

Pun begitu, beliau melahirkan rasa yakin bahawa rakyat Pulau Pinang tidak terpengaruh dengan dakyah ‘anti Islam’ yang dipropagandakan oleh akhbar Utusan Malaysia kerana rakyat sekarang bermaklumat dan bijak menilai berita dari akhbar tersebut.

22 Mac 2010

Royalti : Nazri Aziz Berbohong Di Parlimen

Dzulfikar Mashoor
Hazayani Zakaria
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Gara-gara menggunakan Akta Ordinan Darurat 1969, iaitu akta yang telah pun dimansuhkan bagi menafikan hak kerajaan negeri Kelantan daripada menerima royalti minyak, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dibuktikan berbohong di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen lepas.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Mohamad Nazri pada sesi penggulungan Disember lalu berulang-ulang kali membuat penafian demikian atas alasan minyak tersebut berada di luar kawasan perairan Kelantan, iaitu tiga batu nautika seperti dirujuk pada Akta Ordinan Darurat 1969.

“Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu 1969 dengan ini dimansuhkan, maknanya ketika berhujah di dalam Dewan (Rakyat), yang berhormat Menteri (Nazri) telah memakai akta yang sebenarnya dimansuhkan.”

“Undang-undang yang dimansuhkan, dia tahu tidak boleh dihujahkan di dalam Dewan (Rakyat), perbuatan menipu Dewan Rakyat telah berlaku pada saat itu,” tegas Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR.

Sehubungan itu, Saifuddin mendesak Mohamed Nazri dikenakan tindakan keras berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(12), iaitu berkaitan hukuman-hukuman yang wajar ke atas Ahli Parlimen atau Menteri kerana berbohong di Dewan Rakyat.

Sebelum pada itu, Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee dilihat cuba untuk tidak memberi laluan kepada Saifuddin bagi membuktikan Mohamed Nazri berbohong di Dewan Rakyat.

Saifuddin kemudiannya mendesak Ronald supaya konsistan dalam mengendalikan sesi penghujahan di Dewan Rakyat.

Menurut Saifuddin, Ronald diminta konsistan melaksanakan Peraturan Mesyuarat, 37(1) dan 36(12), dengan membenarkan beliau mempertikai Mohamed Nazri.

Ini kerana, beliau berkata, Ronald pernah membenarkan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan membuat penghujahan balas, selepas mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbohong di Dewan Rakyat dengan mengatakan bahawa 1Malaysia adalah ciplak pada 1Israel.

Disember tahun lalu, Nazri Aziz berkata, kedudukan pelantar minyak 170 kilometer, di Zon Ekonomi Eksklusif Melaysia-Thailand melayakkan kerajaan Kelantan menerima wang ehsan semata-mata daripada Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, ketika bercakap dalam sidang media di lobi parlimen tengah hari ini, Saifuddin berkata, Nazri secara jelas menyelewengkan fakta apabila menggunakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 1969) yang telah dimansuhkan sewaktu berhujah dalam isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen PR itu.

"Tadi kita (Ahli Parlimen PR) telah membangkitkan peraturan mesyuarat perkara di bawah 37 (1) dan 36 (12) berkenaan perbuatan yang kita percaya dilakukan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas yang mengelirukan dewan.

"Ketika MP Padang Rengas menggulung perbahasan di peringkat dasar Jabatan Perdana Menteri, apabila kami membahaskan isu berkaitan royalti kelantan, apabila kami meneliti semula jawapan yang diberikan menteri iaitu isu tiga batu nautika berdasarkan Ordinan Darurat (kuasa-kuasa perlu 1969) yang dikatakan menghadkan sempadan sesebuah negeri setakat tiga batu nautika. Oleh kerana telaga minyak Kelantan yang berada melebihi tiga batu maka menteri berhujah berdasarkan ordinan ini, Kelantan tidak ada hak membuat tuntutan.

"Tetapi kami menemui undang-undang Malaysia iaitu Akta 216, Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 1979), di bawah seksyen 13(1) jelas yang menyebut ordinan (kuasa-kuasa perlu darurat 1969) telah dimansuhkan," katanya.

Sementara itu, Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) dalam sidang media yang sama berkata, isu yang dibawa oleh Saifuddin itu jauh lebih besar daripada perkara yang dibangkitkan Abdul Rahman berkaitan Anwar.

"Isu yang dibawa wakil Machang iaitu ahli dewan menyelewengkan fakta jauh lebih besar isunya kerana beliau seorang Menteri Kabinet yang mempunyai tanggungjawab untuk memberikan maklumat yang betul berbeza dengan ahli parlimen biasa.

"Isu yang dibangkitkan Kota Belud berkaitan Datuk Seri Anwar itu kita boleh bahaskan," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub pula berkata, Nazri seperti yang didedahkan Saifuddin Nasution pernah menggunakan fakta mengelirukan semasa membuat hujah penggulungan berhubung isu royalti negeri Kelantan.

"Kita tunggu dalam masa seminggu, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dirujuk ke jawatankuasa hak dan kebebasan dewan, maka kami juga akan merujuk Nazri ke jawatankuasa sama," katanya yang juga Naib Presiden PAS ketika ditemui di parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan yang akan mengheret Anwar ke jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen jika gagal memberi penjelasan dalam tempoh seminggu berhubung dakwaan mengaitkan kerajaan dengan sebuah firma penasihat Israel.

20 Mac 2010

Ada Pemimpin UMNO KAki Arak : Rembau Terpaku, Pasir Salak Terduduk!!!


EraPakatan

KUALA LUMPUR : Cubaan Ahli Parlimen (AP) Rembau yang juga Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memainkan isu arak dan judi di Dewan Rakyat ibarat meludah ke langit, terpercik di muka sendiri sebaik MP Machang, Saifudin Nasution diberi laluan untuk berucap.

Saifudin yang hanya menyatakan berhubung judi arak secara umum membuatkan beberapa MP Umno berasa kurang selesa termasuklah AP Pasir Salak yang kelihatan marah-marah dan hampir-hampir keluar dari tempat duduk asalnya.

Berikut ialah transkrip penuh ucapan Saifudin yang juga Setiausaha PKR sehingga membuatkan MP Umno tertekan di Dewan Rakyat.

"Dia (Khairy Jamaluddin) tak sukar kita memahami keberanian Rembau kebelakangan ini untuk dilihat berani mencabar Ketua Pembangkang.

"Sifirnya mudah, menang pemilihan parti (Umno), tak dapat jadi menteri, itu sahaja," katanya.

Maknanya, tambah Saifudin, perbahasan ini sekarang, diikuti oleh Perdana Menteri (Najib Razak) jadi keberanian itu akan diberi markah dan peluang untuk dilantik jadi menteri, itu sahaja.

"Jadi, itu fakta. Adakah Permatang Pauh (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bersetuju, tak susah kita memahami budaya dalam politik Umno.

Maknanya dosa besar dalam Umno, ialah menegur dan berkata benar kepada pemimpin Umno itu berdosa besar. Parti agama, bangsa, Negara. Judi ok, arak ok.

Jangan cabar kita, kita boleh tunjuk berapa kerat dalam (Dewan Rakyat) ini.

Berapa banyak botol Arak di togok dalam lawatan-lawatan pemuda Umno dulu.

Jangan sebut, kita boleh sebut, Jangan cabar kita, kita boleh sebut.

Jangan cabar, kita tahu, pejabat pemimpin Umno mana yang ada tong arak dalam pejabat.

Jangan cabar, waktu Wedding Anniversary, pemimpin pemuda Umno dihidangkan botol arak, jangan cabar kita,” kata Saifudin.

Ketika ini, beberapa pemimpin Umno merah padam walaupun Saifudin sekadar menyebut perkara itu secara umum sehingga Timbalan Yang Di Pertua (TYDP) Dewan Rakyat menegur sikap pemimpin Umno itu.

TYDP : Sudah lah Pasir salak, Pasir Salak duduk dahulu, Rembau, Rembau duduk dahulu, saya pun mahu dengar apa yang Machang nak cakap.

Saifudin yang dibenarkan berucap menyambung;

"Apakah Permatang Pauh bersetuju kalau saya katakan bahawa, dalam satu forum beberapa tahun lalu, selepas MP Permatang Pauh di pecat (dari parti dan kerajaan), di University John New Hopkins Amerika Syarikat, Pemimpin pemuda Umno itupun ada di sini, Bendahari Umno Malaysia pun ada di sini. berapa banyak botol arak dia togok, kita tahu, jangan cabar,” katanya.

MP Pokok Sena yang terkejut dengan pendedahan itu turut sama menggamatkan Dewan apabila berkata.'

Mahfuz : Tu dia, baru kami tahu. Allah Akhbar, apa pasal teruk sangat ni.

Saifudin menyambung;

“Sebab itu, jangan sampai kita sebut di mana, Hai kenapa marah (Khairy dan Tajuddin), kenapa marah, sebab apa marah, bersungguh marak kenapa, duduklah.

YDP saya bagi fakta ini, Bagan Datoh tak marah, Batu Pahat tak marah, Pontian tak marah. Rembau terpaku, Pasir Salak yang lebih, kenapa, kenapa, kenapa?

Sebab itu, jangan… jangan sebut,” katanya.

Ketika ini Pasir Salak yang sejak tadi diam, tiba-tiba menyinga dan menyalak dan dilihat cuba keluar dari kerusinya sebelum MP Machang berkata;

“Kalau nak suruh saya ulang diluar dewan, saya ulang, namanya siapa, tarikhnya bila,berapa banyak botol arak dia togok.” kata Saifudin.

Sebaik ungkapan itu diucapkan Saifudin, MP Pasir Salak yang sebelum itu marah-marah ke kiri kanan, terduduk sambil mencebikkan bibirnya..

“Sebab itu saya tidak boleh terima amalan ini. Dalam satu lawatan Umno ke Amerika Syarikat, ada pemimpin Umno yang tertidur dalam mesin judi. Kita tahu.

Jangan tanya saya pemimpin Umno mana. Bila semua orang dah naik bas, ada tiga lagi pemimpin Umno tak naik bas. Bila kita turun cari, rupanya pemimpin Umno ini tertidur dalam kasino judi. Nak sebut apa?

Pengerusi, cukup, untuk pusingan pertama kali ini. Adakah MP Permatang Pauh bersetuju tentang perkara ini, sekian untuk pusingan pertama,” jelas Saifudin.

18 Mac 2010

Zambry Politikkan Bahasa Mandarin

Bulan lepas saya mengeluarkan kenyataan bagaimana Zambry telah mempolitikkan Tahun Baru Cina dan rasa terkejut dengan tindakan MB mahkamah Perak yang mendahului zaman dengan mengadakan sambutan Hari Raya Cina di kediaman rasmi MB Perak di Ipoh . Terkejut orang Cina seantaro dunia bila seorang yang mengaku Melayu mengadakan sambutan Hari raya Cina.

Saya mengatakan dia sangat menggelabah dan cuba menarik sokongan orang Cina demi mempertahankan kerajaan haram yang disahkan oleh mahkamah. Begitulah Zambry yang sekali lagi mempolitikkan hak bangsa lain dengan kali ini mempolitikkan Bahasa Mandarin demi politik sempitnya.

Belajar Bahasa Mandarin sesuaru yang mudah dan boleh dipermain-mainkan dengan sekadar memaparkan berita sebesar-besarnya di Akhbar Cina, namun ia memerlukan sesungguhan dan kesanggupan yang bukan sekadar gimik politik murahan yang telah dilakukan oleh Zambry dengan Exconya.

Pengalaman saya melalui proses pembelajaran bahasa itu selama 2 tahun di Jinan University , China menyakinkan saya bahawa belajar Bahasa Mandarin tidak semudah yang Zambry sangkakan.

Sebelum itu saya ingin tanyakan kepada beliau, kenapakah kalau ingin mengusai Bahasa Mandarin , bagaimana pula dengan Bahasa Tamil. Adakah selepas ini Zambry akan ke Sekolah Tamil pula bagi mengambil hati kaum India.

Nampak sangat UMNO sudah tidak ada modal lagi untuk mengambil hati orang Cina dan India yang sudah sangat jauh dengan BN. Terutamnya kaum Cina yang telah mencapai tahap 80 pratus lebih memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat. itulah isu yang sebenarnya.

Sebenarnya Pakatan Rakyatlah yang benar-benar telah berjaya menawan hari kaum Cina dan India dengan dasar-dasar keterbukaan, kebajikan dan penyelsaian pelbagai masalah kaum itu selama 10 bulan lebih meneraju Kerajaan Perak. Dengan teras pemerintaan yang berpaksikan dengan prinsip Keadilan, Amanah, Ketelusan, Wibawa dan Kebajikan ianya telah membuktikan bahawa Pakatan Rakyat telah membawa politik baru yang membawa sesejahteraan dan kemakmuran untuk Perak.

Semua perkara yang pernah dilakukan oleh BN sebelum itu dalam soal pembangunan Infrastruktur mampu kita jana dan lakukan dan yang tidak pernah dilaakukan dan tidak ada semasa BN memerintah Perak kita lakukan termasuklah memberi layanan kepada tuntutan pelbagai kaum di Perak.

Kita sebenarnya tidak menggadai tanah kepada sesiapa seperti yang di tohmah oleh pemimpin UMNO, tetapi sebenarnya kita menyerahkan tanah dengan geran kekal kepada yang berhak iaitu pemilik dan penghuni di Kampung Baru dan Kampung Tersusun yang telah menuntutnya sekian lama semasa BN memerintah namun di tolak.

Kerana itulah segala langkah yang perlu sedang dan akan dilakukan oleh BN untuk menarik sokongan kaum India dan Cina khususnya di Perak. Walaupoun ianya tidak masuk akal ianya tetap dilakukan. Yang pasti ia akan dit5olak.

Saya yakin tindakan Zambry sekali ini tidak akan menyebabkan kaum Cina kembali kepangkuan BN. Malah saya menyeru kaum Cina terus bersiap sedia untuk menghukum UMNO dan BN yang sekali lagi mempolitikkan bahasa ibunda orang Cina. Malah ianya satu penghinaan demi matlamat politik murahan dan politik sempit BN.

KENYATAAN MEDIA, 18 Mac 2010

Drs. Khalil Idham Lim
ADUN Titi Serong.