Memaparkan catatan dengan label Parlimen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Parlimen. Papar semua catatan

23 Mac 2010

APO : Ketua Pembangkang Perjelas Selasa Depan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diberi ruang membuat penjelasan berhubung dakwaan penglibatan APCO Worldwide dalam mempromosikan 1Malaysia di dewan rakyat pada hari Selasa, 30 Mac depan.

Perkara itu diumumkan ahli parlimen Subang Sivarasa Rasiah selepas Anwar bersama beliau mengadakan perbincangan dengan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee sebentar tadi.

Pertemuan itu jelas Siva, bagi membolehkan Anwar mendapat penjelasan terus dari timbalan speaker itu berhubung apa yang berlaku pada persidangan dewan rakyat semalam.

"Datuk Seri Anwar akan memberi penjelasan pada hari Selasa, jam 11.30 pagi.

"Beliau akan mengulas sekaligus menjawab apa yang dibangkitkan (Ahli Parlimen) Kota Belud dan Padang Rengas," katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh semalam diberi tempoh seminggu untuk menjelaskan kenyataannya di dalam dewan minggu lalu yang mengaitkan kerajaan dengan sebuah firma penasihat Israel, Apco yang didakwa terlibat dalam mempromosikan kempen 1Malaysia.

Tindakan tersebut ekoran Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN - Kota Belud) yang membangkitkan perkara tersebut di bawah perkara 37 (1) yang dibacakan sekali dengan perkara 36(12) peraturan mesyuarat yang mencetuskan suasana gamat di parlimen semalam.

Menurutnya, ahli parlimen Permatang Pauh itu dengan jelas menggunakan kenyataan yang mengelirukan dewan semasa membuat kenyataan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz (BN- Padang Rengas) kemudiannya memberitahu timbalan speaker, Datuk Ronald Kiandee bahawa kerajaan memberi Anwar tempoh seminggu untuk membuktikan dakwaannya itu.

Anwar sebelum ini juga mendakwa perdana menteri Israel, Ehud Barak telah mengunakan khidmat nasihat syarikat Apco pada 1999.

Sementara itu, beliau pada sidang dewan rakyat pagi tadi berkata beliau akan membuat penjelasan berhubung dakwaannya itu dan akan mendedahkan beberapa lagi fakta berkaitan.

"Macam Apco, saya akan buat penjelasan nanti dan jangan terkejut dengan maklumat yang saya akan sampaikan," kata Anwar sewaktu mencelah menjawab tuduhan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman.

Royalti : Dokumen Dakwa Najib Diserah Kepada Speker

Hazayani Zakaria
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan menyerahkan dokumen yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbohong berhubung isu royalti kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat esok.

Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian) dalam satu sidang media pagi ini berkata, beliau telah mengemukakan perkara itu kepada Speaker di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) pagi tadi.

"Sebentar tadi saya telah bangun dalam dewan dan mengemukakan peraturan mesyuarat 36(12) yang meminta penjelasan daripada yang dipertua dewan dan ahli parlimen yang pada anggapan saya telah melakukan penelewengan fakta pada 4 November tahun 2009." katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Menurutnya, Perdana Menteri dalam jawapannya berhubung isu royalti tahun lalu menggunakan istilah wang ehsan sedangkan terbukti dalam surat Petronas kepada pegawai kewangan Negeri Terengganu pada tahun 1979, jelas menggunakan bayaran royalti, bukan wang ehsan.

Ujarnya juga, surat Petronas kepada Menteri Besar Terengganu ketika itu, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga menyebut wang royalti.

“Perdana Menteri telah mengunakan perkataan wang ehsan dalam isu tuntutan royalti dan telah menyelewengkan dewan,” katanya.

Menurut Salahudin, dokumen berkaitan sedang disediakan dan dijangka diserahkan kepada Speaker pagi esok.

Pada masa yang sama, Najib diberi tempoh tujuh hari bagi membuat penjelasan berhubung perkara itu.

"Dewan boleh merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan maka tadi saya berdiri dan memberi tempoh selama tujuh hari kepada Perdana Menteri untuk membuat penjelasan," katanya.

Najib ketika perbahasan berhubung isu tuntutan royalti Petroleum Kelantan di Dewan Rakyat pada 4 November lalu menggunakan mendakwa Terenganu hanya diberikan wang ehsan.

Senarai Hitam MP Seksis

Hazayani Zakaria
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Wanita Pakatan Rakyat (PR) hari ini menyeru seluruh wanita Malaysia menyenaraihitamkan ahli parlimen (MP) yang bersikap seksis pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam satu kenyataan bersama yang dibacakan oleh Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali (PAS-Titiwangsa) tengah hari ini, wanita PR berkata, ahli parlimen seksis tidak layak menjadi wakil rakyat.

Ahli parlimen, ujar mereka perlu bebas dari sebarang bentuk amalan seksis, dan ianya perlu dijadikan indeks pencapaian utama (KPI) terhadap calon-calon Parlimen akan datang.

"Wanita Malaysia tidak akan memilih calon-calon ahli parlimen yang seksis dalam pilihan raya akan datang," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu merujuk kepada perkataan 'anak jantan' dan 'anak betina' yang dikeluarkan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) di Dewan Rakyat semalam.

Menurut wanita PR, anutan seksisme (sexism) membawa pemikiran bahawa satu gender adalah lebih 'inferior' atau lemah dari yang lainnya.

Ia juga bermaksud mendiskriminasi gender dan tidak mempedulikan soal memelihara maruah dan martabat gender, lelaki atau wanita sekaligus berlawanan dengan Perlembagaan Malaysia.

"Kita bantah kerana penggunaan perkataan 'anak jantan' dan anak betina ini sangat tidak wajar sebab perkataan itu sering dikaitkan dengan binatang dan juga wanita yang tidak baik," katanya.

Menurutnya lagi, biarpun perkara itu dipandang remeh oleh sesetengah pihak, namun apa yang dibimbangi jika dibiarkan, lebih banyak lagi perkataan serupa digunakan di Parlimen.

Sementara itu, Siti Zailah (PAS-Rantau Panjang) menyifatkan kempen 'Budi Bahasa Budaya Kita' yang diwar-warkan kerajaan sebagai gagal apabila menteri sendiri tidak menunjukkan budi bahasa yang baik sewaktu berbahas di Parlimen.

"Kenyataan ini jelas membuktikan kegagalan kempen 'Budi Bahasa Budaya Kita' yang dilaungkan kerajaan. Kerajaan telah menghabiskan berjuta ringgit untuk melaksanakan kempen itu tapi malangnya \menteri sendiri tidak berbudi bahasa walaupun dalam dewan yang mulia," katanya.

Manakala Zuraida Kamarudin (PKR-Ampang) pula melahirkan rasa kecewa kerana Ahli Parlimen Barisan Nasional masih lagi gagal memahami konsep kesetaraan gender dan kenyataan-kenyataan bersifat seksisme.

"Ini menampakkan kelemahan kerajaan apabila ahli parlimen lelakinya masih gagal untuk memamahi konsep ini. Jika perkara semudah ini pun mereka tidak boleh faham, bagaimana rakyat khususnya wanita hendak meletakkan harapan kepada mereka," katanya.

KPN, Menteri Dalam Negeri Retak???

Dzulfikar Mashoor
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang pagi tadi menganggap kenyataan 'pihak-pihak tertentu' mempengaruhi penguatkuasaan polis sebagai mencerminkan keretakan yang genting antara pegawai peringkat tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Justeru, tahap kebebasan PDRM terus dipersoal apabila Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mendakwa terdapatnya 'pihak-pihak tertentu' mempengaruhi badan penguatkuasaan tersebut.

Kit Siang juga tidak menolak kemungkinan bahawa keretakan tersebut membabitkan lebih banyak lagi ahli-ahli politik tanah air serta kumpulan kongsi gelap tertentu.

Sekiranya kemungkinan itu tidak salah, beliau yang juga Penasihat DAP berkata, tidak mustahil individu seperti Datuk Ramli Yusoff, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang pernah dibabitkan dengan beberapa kes rasuah dan penyelewengan kuasa boleh dilantik menjadi Ketua Polis Negara kelak.

Sebelum pada itu, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan penjelasan semula kerajaan tentang keretakan yang membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan beberapa pegawai atasan PDRM.

Beliau turut mempersoal keikhlasan Hishamuddin dan Musa kerana dilihat bias dalam memelihara kepentingan keselamatan negara.

Turut menyertai Kit Siang dan Loke di lobi Parlimen ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua dan Adun Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Orang Ke-3 : KPN Didesak Bertindak

Harakahdaily.Net


KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan boleh dianggap tidak mematuhi ketuanya jika beliau tidak bertindak ke atas pihak ketiga yang campur tangan dalam urusan polis, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (PIC).

"Oleh kerana Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Datuk Seri Hishammuddin Hussein) berkata, adalah menjadi tanggungjawab polis untuk bertindak ke atas pihak ketiga yang campur tangan dalam urusan polis, Musa boleh dianggap ingkar kepada ketuanya jika beliau tidak menyegerakan tindakan tersebut," katanya.

Musa sebelum itu mendedahkan ada pihak ketiga yang campur tangan dalam urusan polis dan memberi tekanan kepada para pegawainya.

Menurut beliau, hanya Ketua Polis Negara yang boleh memberi arahan berdasarkan Seksyen 4 Akta Polis 1957.

Salahuddin juga mempersoalkan sikap Hishammuddin yang seolah-olah mengambil sikap lepas tangan terhadap apa yang dibangkitkan oleh Musa itu.

"Selaku menteri, beliau sepatutnya mengambil tanggungjawab bersama untuk menyiasat dan bertindak ke atas campur tangan pihak ketiga yang dibangkitkan oleh ketua polis negara sendiri.

"Bukannya membuat kenyataan yang seolah-olah memperkecilkan betapa seriusnya apa yang dibangkitkan oleh Ketua Polis Negara itu apabila mendakwa beliau belum lagi mendengar aduan tentang pihak ketiga yang berkuasa mempengaruhi polis.

"Ketua Polis Negara telah membangkitkannya dalam media dan heboh di seluruh negara, adakah wajar bagi Hishammuddin untuk membuat dakwaan bahawa tidak pernah mendengar aduan?" kata Ahli Parlimen Kerian itu sambil tidak menolak kemungkinan pihak ketiga yang berkepentingan politiklah yang memaksa polis menyerang perhimpunan-perhimpunan demokratik yang dijalankan oleh Pakatan Rakyat (PR).

Salahuddin juga berharap Menteri Dalam Negeri jujur apabila mendakwa tidak ada pergeseran antara Kementerian Dalam Negeri dan pasukan polis.

"Jika Menteri Dalam Negeri berkrisis dengan Ketua Polis Negara, yang menanggung padahnya adalah rakyat," katanya.

Hishamuddin membuat dakwaan itu ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat daripada Anthony Loke (DAP- Rasah) yang meminta penjelasan mengapa Ketua Polis Negara dan beliau memilih meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing di media daripada berkomunikasi sesama mereka.

Wujud spekulasi bahawa hubungan kedua-dua pihak adalah tegang berikutan pendedahan Musa bahawa ada campurtangan pihak ketiga dalam pasukan polis.

22 Mac 2010

Video : Terpakunya Rembau Dan Terduduknya Pasir Salak!!!

Jom ikuti saat-saat terpakunya YB Rembau dan terduduknya Pasir salak !!!

Kredit : MPPAS
http://www.youtube.com/user/mppas2008



PAS Cadang Hantar Memo Kepada Majlis Raja-Raja

Hazayani Zakaria
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mencadangkan agar Ahi Parlimen PR menghantar memorandum khas kepada Majlis Raja-Raja Melayu meminta satu siasatan dijalankan ke atas penglibatan Apco Worldwide dengan pentadbiran Kerajaan Malaysia.

Beliau turut mempersoal tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil Apco sebagai penasihat kepada pentadbiran negara.

"Saya mencadangkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menghantar memorandum khas kepada Majlis Raja-Raja Melayu meminta Majlis Raja-Raja Melayu meneliti perkara ini.

"Kenapa kerajaan perlu mengambil khidmat syarikat antarabangsa yang terlibat dengan rejim zionis, sedangkan banyak lagi syarikat antarabangsa mahupun tempatan yang boleh menjadi jururunding," katanya yang juga Naib Presiden PAS pada sidang media di lobi Parlimen tengah hari ini.

Anwar sebelum ini, mendakwa Apco Worldwide, sebuah agensi perunding dilantik oleh kerajaan Malaysia adalah syarikat yang sama melakarkan slogan ‘One Israel'.

Royalti : Nazri Aziz Berbohong Di Parlimen

Dzulfikar Mashoor
Hazayani Zakaria
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Gara-gara menggunakan Akta Ordinan Darurat 1969, iaitu akta yang telah pun dimansuhkan bagi menafikan hak kerajaan negeri Kelantan daripada menerima royalti minyak, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dibuktikan berbohong di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen lepas.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Mohamad Nazri pada sesi penggulungan Disember lalu berulang-ulang kali membuat penafian demikian atas alasan minyak tersebut berada di luar kawasan perairan Kelantan, iaitu tiga batu nautika seperti dirujuk pada Akta Ordinan Darurat 1969.

“Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu 1969 dengan ini dimansuhkan, maknanya ketika berhujah di dalam Dewan (Rakyat), yang berhormat Menteri (Nazri) telah memakai akta yang sebenarnya dimansuhkan.”

“Undang-undang yang dimansuhkan, dia tahu tidak boleh dihujahkan di dalam Dewan (Rakyat), perbuatan menipu Dewan Rakyat telah berlaku pada saat itu,” tegas Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR.

Sehubungan itu, Saifuddin mendesak Mohamed Nazri dikenakan tindakan keras berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(12), iaitu berkaitan hukuman-hukuman yang wajar ke atas Ahli Parlimen atau Menteri kerana berbohong di Dewan Rakyat.

Sebelum pada itu, Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee dilihat cuba untuk tidak memberi laluan kepada Saifuddin bagi membuktikan Mohamed Nazri berbohong di Dewan Rakyat.

Saifuddin kemudiannya mendesak Ronald supaya konsistan dalam mengendalikan sesi penghujahan di Dewan Rakyat.

Menurut Saifuddin, Ronald diminta konsistan melaksanakan Peraturan Mesyuarat, 37(1) dan 36(12), dengan membenarkan beliau mempertikai Mohamed Nazri.

Ini kerana, beliau berkata, Ronald pernah membenarkan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan membuat penghujahan balas, selepas mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbohong di Dewan Rakyat dengan mengatakan bahawa 1Malaysia adalah ciplak pada 1Israel.

Disember tahun lalu, Nazri Aziz berkata, kedudukan pelantar minyak 170 kilometer, di Zon Ekonomi Eksklusif Melaysia-Thailand melayakkan kerajaan Kelantan menerima wang ehsan semata-mata daripada Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, ketika bercakap dalam sidang media di lobi parlimen tengah hari ini, Saifuddin berkata, Nazri secara jelas menyelewengkan fakta apabila menggunakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 1969) yang telah dimansuhkan sewaktu berhujah dalam isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen PR itu.

"Tadi kita (Ahli Parlimen PR) telah membangkitkan peraturan mesyuarat perkara di bawah 37 (1) dan 36 (12) berkenaan perbuatan yang kita percaya dilakukan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas yang mengelirukan dewan.

"Ketika MP Padang Rengas menggulung perbahasan di peringkat dasar Jabatan Perdana Menteri, apabila kami membahaskan isu berkaitan royalti kelantan, apabila kami meneliti semula jawapan yang diberikan menteri iaitu isu tiga batu nautika berdasarkan Ordinan Darurat (kuasa-kuasa perlu 1969) yang dikatakan menghadkan sempadan sesebuah negeri setakat tiga batu nautika. Oleh kerana telaga minyak Kelantan yang berada melebihi tiga batu maka menteri berhujah berdasarkan ordinan ini, Kelantan tidak ada hak membuat tuntutan.

"Tetapi kami menemui undang-undang Malaysia iaitu Akta 216, Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 1979), di bawah seksyen 13(1) jelas yang menyebut ordinan (kuasa-kuasa perlu darurat 1969) telah dimansuhkan," katanya.

Sementara itu, Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) dalam sidang media yang sama berkata, isu yang dibawa oleh Saifuddin itu jauh lebih besar daripada perkara yang dibangkitkan Abdul Rahman berkaitan Anwar.

"Isu yang dibawa wakil Machang iaitu ahli dewan menyelewengkan fakta jauh lebih besar isunya kerana beliau seorang Menteri Kabinet yang mempunyai tanggungjawab untuk memberikan maklumat yang betul berbeza dengan ahli parlimen biasa.

"Isu yang dibangkitkan Kota Belud berkaitan Datuk Seri Anwar itu kita boleh bahaskan," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub pula berkata, Nazri seperti yang didedahkan Saifuddin Nasution pernah menggunakan fakta mengelirukan semasa membuat hujah penggulungan berhubung isu royalti negeri Kelantan.

"Kita tunggu dalam masa seminggu, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dirujuk ke jawatankuasa hak dan kebebasan dewan, maka kami juga akan merujuk Nazri ke jawatankuasa sama," katanya yang juga Naib Presiden PAS ketika ditemui di parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan yang akan mengheret Anwar ke jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen jika gagal memberi penjelasan dalam tempoh seminggu berhubung dakwaan mengaitkan kerajaan dengan sebuah firma penasihat Israel.

20 Mac 2010

Ada Pemimpin UMNO KAki Arak : Rembau Terpaku, Pasir Salak Terduduk!!!


EraPakatan

KUALA LUMPUR : Cubaan Ahli Parlimen (AP) Rembau yang juga Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memainkan isu arak dan judi di Dewan Rakyat ibarat meludah ke langit, terpercik di muka sendiri sebaik MP Machang, Saifudin Nasution diberi laluan untuk berucap.

Saifudin yang hanya menyatakan berhubung judi arak secara umum membuatkan beberapa MP Umno berasa kurang selesa termasuklah AP Pasir Salak yang kelihatan marah-marah dan hampir-hampir keluar dari tempat duduk asalnya.

Berikut ialah transkrip penuh ucapan Saifudin yang juga Setiausaha PKR sehingga membuatkan MP Umno tertekan di Dewan Rakyat.

"Dia (Khairy Jamaluddin) tak sukar kita memahami keberanian Rembau kebelakangan ini untuk dilihat berani mencabar Ketua Pembangkang.

"Sifirnya mudah, menang pemilihan parti (Umno), tak dapat jadi menteri, itu sahaja," katanya.

Maknanya, tambah Saifudin, perbahasan ini sekarang, diikuti oleh Perdana Menteri (Najib Razak) jadi keberanian itu akan diberi markah dan peluang untuk dilantik jadi menteri, itu sahaja.

"Jadi, itu fakta. Adakah Permatang Pauh (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bersetuju, tak susah kita memahami budaya dalam politik Umno.

Maknanya dosa besar dalam Umno, ialah menegur dan berkata benar kepada pemimpin Umno itu berdosa besar. Parti agama, bangsa, Negara. Judi ok, arak ok.

Jangan cabar kita, kita boleh tunjuk berapa kerat dalam (Dewan Rakyat) ini.

Berapa banyak botol Arak di togok dalam lawatan-lawatan pemuda Umno dulu.

Jangan sebut, kita boleh sebut, Jangan cabar kita, kita boleh sebut.

Jangan cabar, kita tahu, pejabat pemimpin Umno mana yang ada tong arak dalam pejabat.

Jangan cabar, waktu Wedding Anniversary, pemimpin pemuda Umno dihidangkan botol arak, jangan cabar kita,” kata Saifudin.

Ketika ini, beberapa pemimpin Umno merah padam walaupun Saifudin sekadar menyebut perkara itu secara umum sehingga Timbalan Yang Di Pertua (TYDP) Dewan Rakyat menegur sikap pemimpin Umno itu.

TYDP : Sudah lah Pasir salak, Pasir Salak duduk dahulu, Rembau, Rembau duduk dahulu, saya pun mahu dengar apa yang Machang nak cakap.

Saifudin yang dibenarkan berucap menyambung;

"Apakah Permatang Pauh bersetuju kalau saya katakan bahawa, dalam satu forum beberapa tahun lalu, selepas MP Permatang Pauh di pecat (dari parti dan kerajaan), di University John New Hopkins Amerika Syarikat, Pemimpin pemuda Umno itupun ada di sini, Bendahari Umno Malaysia pun ada di sini. berapa banyak botol arak dia togok, kita tahu, jangan cabar,” katanya.

MP Pokok Sena yang terkejut dengan pendedahan itu turut sama menggamatkan Dewan apabila berkata.'

Mahfuz : Tu dia, baru kami tahu. Allah Akhbar, apa pasal teruk sangat ni.

Saifudin menyambung;

“Sebab itu, jangan sampai kita sebut di mana, Hai kenapa marah (Khairy dan Tajuddin), kenapa marah, sebab apa marah, bersungguh marak kenapa, duduklah.

YDP saya bagi fakta ini, Bagan Datoh tak marah, Batu Pahat tak marah, Pontian tak marah. Rembau terpaku, Pasir Salak yang lebih, kenapa, kenapa, kenapa?

Sebab itu, jangan… jangan sebut,” katanya.

Ketika ini Pasir Salak yang sejak tadi diam, tiba-tiba menyinga dan menyalak dan dilihat cuba keluar dari kerusinya sebelum MP Machang berkata;

“Kalau nak suruh saya ulang diluar dewan, saya ulang, namanya siapa, tarikhnya bila,berapa banyak botol arak dia togok.” kata Saifudin.

Sebaik ungkapan itu diucapkan Saifudin, MP Pasir Salak yang sebelum itu marah-marah ke kiri kanan, terduduk sambil mencebikkan bibirnya..

“Sebab itu saya tidak boleh terima amalan ini. Dalam satu lawatan Umno ke Amerika Syarikat, ada pemimpin Umno yang tertidur dalam mesin judi. Kita tahu.

Jangan tanya saya pemimpin Umno mana. Bila semua orang dah naik bas, ada tiga lagi pemimpin Umno tak naik bas. Bila kita turun cari, rupanya pemimpin Umno ini tertidur dalam kasino judi. Nak sebut apa?

Pengerusi, cukup, untuk pusingan pertama kali ini. Adakah MP Permatang Pauh bersetuju tentang perkara ini, sekian untuk pusingan pertama,” jelas Saifudin.

"Pelacur Politik" Tidak Patut Bersarang Di Parlimen


Abdul Aziz Mustafa
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Parlimen tidak sepatutnya dijadikan sarang ‘pelacur politik’ sehingga meruntuhkan kemuliaannya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Jangan jadikan Parlimen sebagai sarang pelacuran yang dipenuhi kuman siflis dan wabak aids yang akan meruntuh kemulian dewan yang dibanggakan selama ini," tegas beliau ketika mengulas ahli-ahli Parlimen yang melompat.

Beliau meminta ahli-ahli Parlimen yang melompat itu menyedari bahawa rakyat memberi kepercayaan kepada mereka atas nama Pakatan Rakyat (PR) bukan atas nama diri mereka.
"Mereka boleh untuk tidak bersama PKR dan PR tetapi mereka perlu melepaskan jawatan ahli Parlimen untuk kembalikan mandat itu kepada rakyat.
"Inilah cara terbaik untuk mereka membuktikan dakwaan mereka PKR dan PR tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat. Bukannya menjadi pelacur politik yang membawa penyakit yang boleh merosakan masyarakat," tegas beliau lagi.

Beliau juga menyifatkan ahli-ahli Parlimen yang melompat itu sudah tidak ada kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen.

Ahli-ahli Parlimen yang melompat parti, katanya, mencabuli amanah rakyat.

"Parlimen tak boleh mengizinkan ahli Parlimen seperti ini yang membohongi dan menggadai amanah rakyat.

"Perbuatan ini sama seperti kesalahan pecah amanah. Orang yang pecah amanah hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mengulas titah diraja ketika perasmian penggal Parlimen Isnin lalu di mana Yang di-Pertuan Agong mengingatkan ahli-ahli Parlimen supaya menjaga adab dalam perbahasan, Mahfuz berkata, apabila membicarakan soal adab dan kesopanan ia tidak terbatas kepada tingkah laku seseorang ahli Parlimen ketika berbahas.
"Tingkah laku tindakkan ahli Parlimen diluar dewan juga merupa perkara penting untuk dinilai," katanya.

Tingkah laku tersebut termasuk perbuatan mencabuli amanah rakyat yang mengundi mereka.

18 Mac 2010

Mereka Kini Di Parlimen


SIDANG Parlimen telah pun dibuka siang tadi dengan suasana yang berbeza khususnya di kerusi MP dari PR. Setelah proses pembersihan dan `samak' yang telah dilakukan, maka PR khususnya dari PKR kini dilihat lebih bersih dan suci dari dahulu. Proses `samak' atau menyucikan ini harus terus berjalan sehingga menjadikan parti ini lebih kuat dan dihormati oleh kawan dan pihak lawan.

Apabila sidang Parlimen ini mula berkumpul, kita dapat melihat aksi `firaun-firaun ' ini dengan selamba memasuki dewan, duduk di kerusi yang tidak berparti kemudiannya tersengeh bagaikan kerang busuk. Mereka tidak sedar di luar sana beribu malahan mungkin berjuta mulut sedang menyumpah seranah mereka kerana khianatnya kepada kepercayaan yang telah diberikan kepada mereka. Sudah tentunya media-media pencacai akan memberikan perhatian dan tumpuan kepada `firaun-firaun ' ini kerana mereka sememangnya `makanan' buat media pencacai tersebut. Di dalam kumpulan itu terdapatnya `firaun besar' dari Kulim Bandar Baru serta `firaun-firaun kecil' dan mereka ini diketuai oleh `raja katak emas' dari Pasir Mas.

Amat malang nasib pengundi-pengundi yang diwakili oleh puak-puak ini. Di antara mereka itu boleh dikatakan hanya dua ekor sahaja yang rajin bercakap di dalam dewan yang mulia itu. Mereka adalah `katak emas' dari Pasir Mas dan juga `firaun besar' dari Kulim Bandar Baru. Manakala yang lain, jika kita lihat semenjak dari persidangan yang lalu bagaikan hadir semata-mata untuk makan elaun buta. Apatah lagi orang tua yang berkopiah putih yang menjadi Wakil Rakyat hasil dari usaha Ustaz Ahmad Awang. YB Azmin Ali pernah memberitahu orang tua ini langsung tidak pernah bangun berbahas di dalam dewan semenjak menjadi MP. Beliau hanya tahu angkat tangan bila rakan-rakan yang lain angkat tangan. Kalau begitulah `standard' beliau, lebih baik dahulu kita letakkan burung belatuk duduk di kerusinya itu.

Agak-agak kita apakah yang boleh dibahaskan oleh mereka ini? Apa yang pasti `firaun kecil' yang tidak tahu bercakap itu akan menjadi burung belatuk yang sebenar. Di sinilah letaknya malang yang menimpa pengundi-pengundi yang diwakili oleh mereka. Sudah lah dapat Wakil Rakyat yang tidak tahu apa-apa, pengkhianat pula. Di Parlimen ini nanti kita hendak dengar hujah dari `firaun besar' Kulim Bandar Baru tentang isu Kalimah Allah. Di luar beliau terbukti pengecut apabila dicabar oleh YB Khalid untuk berdebat tentang isu tersebut. Di Parlimen, beliau boleh berhujah pula dengan Ulamak atau Ustaz-Ustaz dari PAS jika beliau menganggap PKR tidak tahu tentang agama. Masalahnya, beranikah beliau berbuat demikian?

Tahniah kepada PAS dan DAP yang telah memberikan kepercayaan kepada DS Anwar menjadi Ketua Pembangkang walaupun puak-puak mereka amat berharap DS Anwar disisihkan. Apa yang menarik perhatian saya, kenyataan dari PAS yang menyatakan PAS bukan sahaja menyokong DS Anwar sebagai Ketua Pembangkang, bahkan menyokong DS Anwar sebagai PM sekiranya PR berjaya menduduki Putrajaya. Kenyataan PAS ini amat `melukakan' hati dan jantung Umno. Apa yang berlaku ke atas DS Anwar tidak sedikitpun mempengaruhi PAS dan DAP kerana mereka tahu moral DS Anwar bukan seperti Chua Soi Lek yang ingin ditabalkan sebagai Presiden MCA itu. Maruah DS Anwar terletak kepada keadilan dan kebenaran yang diperjuangkannya, manakala maruah Umno kini hanya bergantung kepada `satu lubang' sahaja. Di mana pula letaknya maruah yang tidak berparti itu? Tiada, kerana sememangnya mereka langsung tidak bermaruah