Memaparkan catatan dengan label Polis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Polis. Papar semua catatan

23 Mac 2010

Polis Rampas Lagi Kartun Zunar

Harakahdaily.Net

JASIN, 23 Mac: Polis bertindak merampas lagi buku-buku kartun yang diterbitkan oleh Gedung Kartun yang dimiliki oleh Kartunis Zunar atau nama sebenarnya, Zulkifli Anwar Ulhaque dan rakan-rakannya.Kali ini, Polis Jasin merampas buku dan majalah kartun itu di Asahan, Melaka.

Menurut Zunar dalam kenyataannya, pada 20 Mac lepas, ASP Woon Chai Choi serta tiga anggota dari IPD Jasin Melaka bertindak merampas majalah-majalah kartun keluaran beliau dari seorang pengedar di Asahan.

Mereka pada mulanya merampas berpuluh-puluh majalah Gedung Kartun, Perak Darul Kartun, Isu Dalam Kartun dan 1Funny Malaysia, tetapi selepas bantahan dari beliau melalui telefon, barulah jumlahnya dikurangkan kepada satu naskah setiap judul.

Dalam perbualan melalui telefon dengan beliau, ASP Woon menyatakan sebab rampasan ialah untuk menyiasat. Tetapi melalui surat rampasan yang diberi (dilampirkan) tidak dinyatakan sebab-sebab rampasan dan di bawah akta apakah rampasan dibuat.

Februari lepas, sepasukan polis yang diketuai Chief Inspektor Mohd Noor Azlan Bin Mansor telah membuat serbuan di sebuah kedai di Carrefour Seberang Jaya, Pulau Pinang dan merampas empat naskah majalah Isu Dalam Kartun.

Serbuan yang sama juga dibuat di Butterworth dengan 15 naskah rampasan, Taman Bertam, pekan Kepala Batas, Kampung Belah Dua, Permatang Pauh serta beberapa kawasan lagi.

Ogos tahun lepas, pegawai-pegawai KDN merampas 408 naskah sulung majalah Gedung Kartun di pejabat saya di Brickfields, Kuala Lumpur Pegawai-pegawai KDN juga merampas plat percetakan dari kilang percetakan majalah tersebut.

Dalam kenyataan medianya, Zunar menyifatkan tindakan pihak berkuasa ini sebagai 'rampasan sesuka hati' dan membelakangkan kedaulatan undang-undang.

"Saya mengulangi bahawa tindakan pihak berkuasa bermotif politik untuk menyekat pandangan alternatif dan suara-suara yang mengkritik. Ia juga adalah satu bentuk ancaman kepada saya dan kartunis-kartunis saya," katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan ini menjadikan kebebasan akhbar di bawah pemerintahan Najib Tun Razak mengundur beratus tapak ke belakang dan sekarang tidak lebih dari 'satu cerita kartun' dan bahan ketawa masyarakat dunia.

"Saya menggesa agar semua buku saya yang dirampas dipulangkan. Saya juga sedang berbincang dengan peguam untuk mengkaji apakah tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak berkuasa berhubung tindakan ini," katanya lagi.

KPN, Menteri Dalam Negeri Retak???

Dzulfikar Mashoor
Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang pagi tadi menganggap kenyataan 'pihak-pihak tertentu' mempengaruhi penguatkuasaan polis sebagai mencerminkan keretakan yang genting antara pegawai peringkat tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Justeru, tahap kebebasan PDRM terus dipersoal apabila Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mendakwa terdapatnya 'pihak-pihak tertentu' mempengaruhi badan penguatkuasaan tersebut.

Kit Siang juga tidak menolak kemungkinan bahawa keretakan tersebut membabitkan lebih banyak lagi ahli-ahli politik tanah air serta kumpulan kongsi gelap tertentu.

Sekiranya kemungkinan itu tidak salah, beliau yang juga Penasihat DAP berkata, tidak mustahil individu seperti Datuk Ramli Yusoff, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang pernah dibabitkan dengan beberapa kes rasuah dan penyelewengan kuasa boleh dilantik menjadi Ketua Polis Negara kelak.

Sebelum pada itu, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan penjelasan semula kerajaan tentang keretakan yang membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan beberapa pegawai atasan PDRM.

Beliau turut mempersoal keikhlasan Hishamuddin dan Musa kerana dilihat bias dalam memelihara kepentingan keselamatan negara.

Turut menyertai Kit Siang dan Loke di lobi Parlimen ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua dan Adun Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Orang Ke-3 : KPN Didesak Bertindak

Harakahdaily.Net


KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan boleh dianggap tidak mematuhi ketuanya jika beliau tidak bertindak ke atas pihak ketiga yang campur tangan dalam urusan polis, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (PIC).

"Oleh kerana Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Datuk Seri Hishammuddin Hussein) berkata, adalah menjadi tanggungjawab polis untuk bertindak ke atas pihak ketiga yang campur tangan dalam urusan polis, Musa boleh dianggap ingkar kepada ketuanya jika beliau tidak menyegerakan tindakan tersebut," katanya.

Musa sebelum itu mendedahkan ada pihak ketiga yang campur tangan dalam urusan polis dan memberi tekanan kepada para pegawainya.

Menurut beliau, hanya Ketua Polis Negara yang boleh memberi arahan berdasarkan Seksyen 4 Akta Polis 1957.

Salahuddin juga mempersoalkan sikap Hishammuddin yang seolah-olah mengambil sikap lepas tangan terhadap apa yang dibangkitkan oleh Musa itu.

"Selaku menteri, beliau sepatutnya mengambil tanggungjawab bersama untuk menyiasat dan bertindak ke atas campur tangan pihak ketiga yang dibangkitkan oleh ketua polis negara sendiri.

"Bukannya membuat kenyataan yang seolah-olah memperkecilkan betapa seriusnya apa yang dibangkitkan oleh Ketua Polis Negara itu apabila mendakwa beliau belum lagi mendengar aduan tentang pihak ketiga yang berkuasa mempengaruhi polis.

"Ketua Polis Negara telah membangkitkannya dalam media dan heboh di seluruh negara, adakah wajar bagi Hishammuddin untuk membuat dakwaan bahawa tidak pernah mendengar aduan?" kata Ahli Parlimen Kerian itu sambil tidak menolak kemungkinan pihak ketiga yang berkepentingan politiklah yang memaksa polis menyerang perhimpunan-perhimpunan demokratik yang dijalankan oleh Pakatan Rakyat (PR).

Salahuddin juga berharap Menteri Dalam Negeri jujur apabila mendakwa tidak ada pergeseran antara Kementerian Dalam Negeri dan pasukan polis.

"Jika Menteri Dalam Negeri berkrisis dengan Ketua Polis Negara, yang menanggung padahnya adalah rakyat," katanya.

Hishamuddin membuat dakwaan itu ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat daripada Anthony Loke (DAP- Rasah) yang meminta penjelasan mengapa Ketua Polis Negara dan beliau memilih meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing di media daripada berkomunikasi sesama mereka.

Wujud spekulasi bahawa hubungan kedua-dua pihak adalah tegang berikutan pendedahan Musa bahawa ada campurtangan pihak ketiga dalam pasukan polis.