Memaparkan catatan dengan label MCA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MCA. Papar semua catatan

23 Mac 2010

ADUN Titi Tinggi Letak Jawatan, BN Pujuk

Harakahdaily

KANGAR, 23 Mac: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Tinggi, Perlis Yip Sun Onn dari MCA-BN meletakkan kerusinya berkuat kuasa serta-merta.

Beliau merupakan wakil rakyat pertama dari BN berbuat demikian sejak pilihan raya umum ke-12.

Bagaimanapun The Malaysian Insider difahamkan usaha sedang dibuat untuk memujuk beliau daripada melepaskan kerusi itu ketika ini dan mengubah keputusannya bagi mengelakkan pilihan raya kecil.

Keputusannya, dikatakan ada kaitan dengan rombakan exco Kerajaan Negeri minggu lalu.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya tidak boleh memutuskan apa-apa selagi tidak menerima surat kekosongan daripada Speaker.

“Setakat ini kami belum menerima apa-apa surat lagi,” katanya ketika dihubungi laman web The Malaysian Insider.

Ketua MCA Perlis Datin Paduka Chew Mei Fun pula memberitahu keputusan Yip meletak jawatan yang mengejutkan ramai belum dapat disahkan.

“Ia belum muktamad lagi... apa yang beliau lakukan ialah hanya melahirkan hasrat mahu letak jawatan.

“Saya hanya baru menerima satu SMS daripada beliau dan kelihatan keadaan OK. Saya tidak fikir beliau akan berbuat demikian,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider kira-kira 3.30 petang tadi.

“Saya berharap dan saya percaya beliau tidak akan berbuat demikian tetapi kini perkara pertama yang perlu dilakukan ialah duduk dan berbincang,” katanya.

Beliau tidak pasti sebab Adun itu meletakkan jawatan.

“Saya ingin tahu apa masalah dia yang sebenar; sama ada disebabkan jawatan exco atau masalah peribadi beliau yang lain,” katanya.

Yip digugurkan sebagai exco kerajaan negeri dan digantikan dengan Adun Indera Kayangan Dr Por Choo Chor Jumaat lalu.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Mohd Isa Sabu mengesahkan beliau sudah menerima surat letak jawatan daripada Yip tetapi sedang berusaha memujuknya agar mempertimbangkan keputusan beliau.

“Kami tidak melihat akan ada pilihan raya kecil,” katanya.

MCA memenangi dua kerusi DUN di Perlis.

22 Mac 2010

MCA Sudah Parah - SUA PAS

Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan apa yang berlaku dalam MCA sekarang adalah terlalu teruk dan ia amat parah.

"Jika sudah sampai ke peringkat orang yang sudah bersara terpaksa bertanding kembali, ia sudah parah dan sukar untuk diperbetulkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan agar MCA meletakkan syarat supaya jika tidak ada mana-mana pihak yang bertanding untuk jawatan presiden MCA mendapat lebih dari 50 peratus undi, undian semula perlu dibuat dengan cara membuang calon yang paling rendah undi.

Ini untuk membolehkan satu calon yang betul-betul mendapat sokongan majoriti ahli dipilih sebagai pemimpin, katanya.

"Amalan ini sememangnya dibuat di tempat-tempat lain khasnya pertandingan untuk jawatan presiden sesebuah negara," kata beliau.

Mustafa berkata demikian kepada wartawan selepas melancarkan laman web English Harakahdaily.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat bukan sahaja terpaksa berdepan dengan pertandingan tiga penjuru bahkan juga terpaksa berdepan dengan media BN yang nampaknya cenderung untuk memilih Datuk Seri Chua Soi Lek sebagai presiden baru MCA.

Tee Kiat akan berdepan dengan Chua Soi Lek yang pernah diserang kerana melakukan hubungan sex tanpa perkahwinan dan juga bekas presiden MCA yang sudah berundur sebelum ini, Datuk Seri Ong Ka Ting.

Untuk jawatan timbalan presiden pula, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai akan berdepan satu lawan satu dengan Datuk Kong Cho Ha.

Manakala itu, 10 calon akan bertanding merebut tiga kerusi Naib Presiden MCA. Mereka adalah Khoo Keok Hai, Chor Chee Heung, Ng Yen Yen, Yap Pian Hon, Gan Ping Shou @ Gan Ping Sieu, Yew Teong Look, Wong Siong Hwee, Lim Siang Chai, Yeow Chai Thiam dan Loke Yuen Yow.

Demikian diumumkan oleh MCa petang ini. Untuk jawatan AJK, 86 calon telah bertanding.