Memaparkan catatan dengan label Demo. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Demo. Papar semua catatan

18 Mac 2010

Tahniah Orang Asli - PAS

Harakahdaily.Net

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mengucapkan tahniah kepada Orang Asli yang mengadakan tunjuk perasaan di Putrajaya semalam kerana menuntut hak mereka yang dicabul.

Katanya, penghormatan patut diberikan kepada mereka kerana keberanian dan boleh mengumpulkan seramai 2,000 orang adalah merupakan suatu perkara yang menakjubkan semua pihak.

Perhimpunan semalam dianjurkan bersama Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) dan juga Jaringan Kampung Orang Asli Perak untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri.

Memorandum tersebut turut menuntut supaya dasar pemberimilikan dimansuhkan dan hak wilayah adat Orang Asli hendalah diwartakan sebagai rizab Orang Asli.

Turut dikepilkan dalam memorandum berkenaan ialah cadangan pindaan Akta Orang Asli (Akta 134) yang dikemukakan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia.

“Nampaknya Orang Asli lebih sensitif dalam mempertahankan hak mereka yang dicabul oleh kerajaaan BN,” ujar Idris dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, katanya walaupun Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan itu berkata: Mereka datang bukan untuk protes tetapi untuk berjalan-jalan melawat Putrajaya dan kita juga bagi mereka makan-makan.

Katanya, kejayaan Orang Asli yang mengumpulkan hampir 2,000 orang ke Putrajaya satu perkembangan yang baik.

“Ini bermakna kesedaran politik yang dilaungkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat selama ini sudah mendasari hingga ke akar umbi, seperti Orang Asli sudah berani menuntut hak mereka melalui jalan raya,” ujarnya.

Selama ini, katanya Orang Asli hanya menjadi pemerhati dari jauh dan dilihat oleh pemimpin BN sentiasa menyokong tindakan kerajaan.

“Hari ini mereka telah melakarkan sejarah kebangkitan rakyat dan sebagai mercu tanda perubahan politik pada masa akan datang insya Allah,” ujarnya lagi.

17 Mac 2010

2000 Orang Asli Serbu Putrajaya

Photo : MalaysiaKini.Com

Lebih 2,000 Orang Asli kini di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada perdana menteri berhubung dasar pemberimilikan tanah.

Bagaimanapun kehadiran sesetengah mereka sejak jam 12.45 tengah hari tadi, dengan beberapa bas telah dilencongkan oleh pihak polis ke sebuah auditorium di kompleks Jabatan Perdana Menteri.

Kira-kira seribu daripada mereka disuruh berdialog dengan menteri yang berkaitan, Datuk Seri Shafie Apdal di auditorium itu.

Kira-kira seribu lagi kini berada di persiaran di hadapan pejabat Perdana Menteri bersedia untuk berarak bagi menyampaikan memorandum berkenaan.

Mereka bersiap sedia untuk berarak tetapi dihalang berbuat demikian oleh anggota polis yang bertugas sekitar kawasan itu.

Bagaimanapun setelah perbinacngan kira-kira 15 minit, pihak polis memberi jaminan untuk membenarkan lima orang wakil Orang Asli untuk menghantar memorandum berkenaan.

Keputusan itu disambut dengan pekikan "boo" oleh Orang Asli.


Polis juga meminta Orang Asli supaya tidak berarak dan mempamerkan kain rentang serta sepanduk mereka.

Kumpulan itu bagaimanapun akur untuk tidak menghalang laluan ke JPM dan berkumpul di bahu jalan.

Pada perhimpunan ini, orang Asli membawa sepanduk dan kain rentang yang antaranya berbunyi “ Hak Kami Selaku Orang Asal Perlu dihormati”, “ Jangan Hapuskan Akta Kami” dan “Iktirafkan Wilayah Adat Kami”.

Ada juga Orang Asli yang memakai pakaian tradisional mereka.

Perhimpunan tersebut anjuran bersama Persatuan Orang Asli Semenanjug Malaysia (POASM) dan juga Jaringan Kampung Orang Asli Perak.

Seorang koordinator POASM, Jenita Engi berkata, perhimpunan itu adalah untuk menyuarakan bantahan kepada Datuk Seri Najib Razak berhubung kandungan dasar berkenaan memandangkan rundingan dengan JHEOA awal bulan ini, gagal membuahkan hasil.

Dasar tanah tersebut disasarkan untuk dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Jun ini sebagai cadangan pindaan Akta 134 Kanun Tanah Negara.

Perhimpunan hari ini adalah perhimpunan kedua seumpamanya, selepas mereka mengadakan satu demonstrasi di hadapan pejabat JHEOA di Gombak pada 24 Februari lalu.